Kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1 belum beroperasi

Iklan
Tinjauan mendapati kebanyakan peniaga masih mengubah suai lot niaga di Pasar Kedai Payang 1.

KUALA TERENGGANU - Kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1 yang dijangka mula beroperasi pada 1 Julai kini masih dalam proses pengubahsuaian dan belum dibuka kepada pengunjung.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar pusat perniagaan itu pada Isnin mendapati kebanyakan lot kedai masih ditutup dan kerja-kerja pengubahsuaian lot niaga sedang dijalankan.

Iklan
Iklan

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof berkata, kebanyakan peniaga masih belum bersedia menerima pelanggan malah terdapat dalam kalangan mereka masih dalam proses mendapatkan kunci lot niaga.

"Setakat ini hanya peniaga di empat bahagian sahaja sudah membuat undian lot kedai masing-masing iaitu kedai emas, cenderamata, peralatan dapur serta kasut dan selipar.

Iklan

"Banyak kerja ubah suai perlu dibuat seperti memasang siling, meja pameran emas, rak barangan, kipas dan pendawaian elektrik," katanya.

Kesemua 412 lot kedai di Pasar Kedai Payang 1 masih belum dibuka kepada pengunjung.

Zakaria berkata, operasi perniagaan di Pasar Payang 1 ini dijangka akan bermula seawal 15 Julai depan.

Iklan

"Paling awal pun kita jangka ia akan mula beroperasi pada pertengahan bulan ini dan waktu itu mungkin ada peniaga yang akan mula masuk secara berperingkat.

"Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada tahap kemajuan proses ubah suai yang dilakukan," katanya.

Sementara itu, kebanyakan pengunjung ditemui teruja menanti Pasar Payang 1 dibuka dan tidak sabar untuk merasai suasana membeli-belah di tempat baharu.

Nur Diana Abdul Manaf, 41 berkata, lokasi yang dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan terkenal di Terengganu itu akan membawa imej dan tarikan baharu di negeri itu.

"Saya tak sabar untuk berkunjung ke sini sebab dapat tahu terdapat 63 lot kedai emas yang bakal beroperasi di sini. Selama ini saya datang ke Pasar Payang pun untuk membeli emas," katanya.

Sementara itu, seorang kaki tangan awam, Fahyda Abdul Salam, 29 berkata, Pasar Payang baharu dijangka akan menerima ramai pelanggam kerana lokasi itu telah terkenal dalam kalangan pengunjung luar Terengganu.

"Bagi saya pasar baharu ini lebih kemas dan berfokuskan produk warisan Terengganu seperti batik, songket, cenderamata dan tembaga.

"Saya rasa ramai yang akan datang unthk mendapatkan barangan tersebut dengan lebih selesa di kompleks baharu itu," katanya.

Pasar Kedai Payang 1 yang dibina atas tapak asal dengan kos RM70.03 juta itu adalah projek yang diluluskan kerajaan Persekutuan memandangkan bangunan lama sudah terlalu uzur dan daif.

Kerja-kerja pembinaan semula Pasar Payang itu membabitkan pembinaan bangunan dua tingkat bagi menempatkan 412 lot kedai, 369 petak jualan, tandas, tandas orang kurang upaya (OKU) eskalator, bilik persalinan bayi, lif, surau, infrastruktur seperti jalan masuk, tempat letak kenderaan, lampu jalan, landskap dan menara jam.