PHB Asset Management urus dana AHB berkuat kuasa Isnin

Iklan
PHBAM yang diterajui Zulkifli (duduk depan, tengah) selaku CEO menyasarkan peningkatkan dana AHB dari RM5 bilion kepada RM20 bilion menjelang tahun 2030.

ANAK syarikat milik penuh Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), PHB Asset Management Bhd (PHBAM) dilantik sebagai pengurus baharu dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) menggantikan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) berkuat kuasa Isnin.

PHB dan AmanahRaya Trustees Bhd pula akan terus menjadi penaja dan pemegang amanah dana AHB iaitu unit amanah patuh syariah yang melabur terutamanya dalam pemunyaan benefisial hartanah komersial di lokasi utama di Malaysia.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PHBAM, Zulkifli Ishak berkata, PHBAM mengambil kedudukan sebagai pemain industri dengan tumpuan menyediakan penyelesaian pelaburan dana yang berlandaskan hartanah.

Katanya, objektif utama syarikat selaras dengan mandat PHB untuk meningkatkan kemampuan dan kekayaan bumiputera melalui penyertaan dan pemilikan hartanah komersial.

Iklan

"AHB telah berkembang dari RM1 bilion pada tahun 2010 kepada RM5 bilion pada tahun 2023, memberi manfaat kepada lebih daripada 80,000 pemegang unit dalam penjanaan kekayaan.

”Dengan struktur harga tetapnya dan pengagihan pendapatan dua kali setahun dan telah dizakatkan, dana AHB sesuai untuk pelabur yang mengendalikan perancangan kewangan termasuk simpanan pendidikan dan persaraan,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Zulkifli menegaskan, PHBAM juga menghargai perkhidmatan dan sokongan padu MAM sejak dana AHB diperkenalkan pada 2010.

Ujarnya, usaha sama itu terbukti melalui langganan penuh unit AHB selain MAM bersama PHB sebagai penaja dana telah membina kepakaran dalam mengurus portfolio hartanah komersial secara efektif untuk AHB.

Menurut kenyataan itu, PHBAM turut berusaha untuk mencapai pengoperasion cemerlang dan menawarkan keterangkuman kewangan dengan menggabungkan teknologi maklumat bersama kepakaran serta kompetensi profesional pasaran modal kewangan di dalam strategi perniagaannya selaras dengan objektif jangka panjang PHB.

Syarikat berkenaan menyasarkan peningkatkan dana AHB dari RM5 bilion kepada RM20 bilion menjelang tahun 2030 dengan memperkenalkan perancangan pengedaran digital bagi memberi akses yang lebih luas dan mudah kepada komuniti bumiputera yang kurang mendapat pendedahan berkenaan dana AHB.

PHBAM meletakkan target untuk memberi nilai tambah kepada dana AHB melalui penyediaan perkhidmatan kewangan secara holistik dengan menyepadukan pelbagai penyelesaian kewangan seperti takaful, hibah wakaf dan wasiat.

Inisiatif berkenaan dapat memberikan pemegang unit AHB pendekatan yang lebih berstruktur dalam penciptaan dan pengagihan kekayaan.

Sementara itu, urus niaga dana AHB masih boleh diakses melalui cawangan Maybank, AmBank, AmBank Islamic dan Bank Islam seluruh negara serta melalui perkhidmatan perbankan atas talian Maybank2u eksklusif untuk pelanggan Maybank.

PHBAM juga telah menerima Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 22 April lalu untuk pengurusan dana dan urus niaga dalam sekuriti bagi unit amanah.

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan dana AHB, orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan PHBAM di 603-7734 0555 atau boleh melayari lawang sesawang www.phbam.com.my.