GUA MUSANG - Tular satu hantaran di Facebook yang mendakwa belindan di Tanah Perkuburan Islam Meranto di sini dialihkan sesuka hati demi pertandingan telah mendatangkan pelbagai reaksi tidak puas hati dalam kalangan warganet.
Hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun yang dipercayai penduduk dari kawasan tersebut mendakwa belindan terbabit dialih serta disusun sehingga dipercayai menyebabkan tapak asal kubur berubah dan pada masa sama gambar dikongsi turut menunjukkan batu nisan turut dicabut.
Rata-rata warganet meluahkan rasa marah dan tidak puas hati dengan perbuatan berkenaan.
Sementara itu, Imam Tua Masjid Mukim Meranto, Azmi Hamat ketika dihubungi berkata, gambar yang tersebar itu adalah ketika proses kerja-kerja membersihkan serta mencantikkan kawasan tanah perkuburan.
"Ia masih dalam proses dan dakwaan itu tidak benar.
"Kami tidak sesuka hati mengalihkan belindang, malah apa yang dibuat itu tidak lari daripada tapak asal kubur sedia ada,” katanya.
Menurut beliau, kerja-kerja gotong-royong membersih serta mencantikkan kubur itu adalah sempena Anugerah Tanah Perkuburan Islam Terbaik Negeri Kelantan yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Ujarnya, mereka hanya mengemas kawasan tanah perkuburan dan mengecat belindan serta batu nisan dengan cat berwarna putih serta menanam bunga melati putih.
Azmi memberitahu, pihaknya ingin menyeragamkan kawasan tanah perkuburan dengan bunga melati putih sahaja.
"Kami berharap orang ramai terutama penduduk tidak salah faham.
"Diharap dengan penjelasan ini semua pihak tidak bersalah sangka lagi,” katanya.
Sebelum itu pada Ahad tular di Facebook satu hantaran yang memaparkan beberapa gambar menunjukkan keadaan belindan dialih serta batu nisan dicabut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!