Tiga lelaki tempatan ditahan lindungi 58 PATI

Iklan
PATI yang ditahan hasil operasi bersepadu di sebuah kilang kitar semula di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, pada Ahad. Foto IPD Kota Tinggi

KOTA TINGGI - Tiga lelaki tempatan ditahan kerana melindungi 58 pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah kilang kitar semula di Bandar Tenggara.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, berkata, penahanan itu dibuat susulan operasi bersepadu di kilang terbabit pada jam 3.30 pagi Ahad.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, operasi berkenaan membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 Simpang Renggam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kastam Negeri Johor.

Seramai 58 PATI berusia antara 18 hingga 53 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah. Foto IPD Kota Tinggi

"Seramai 58 PATI membabitkan 53 lelaki dan lima wanita berusia antara 18 hingga 53 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah. Turut ditahan dua penjaga kilang terdiri lelaki tempatan berusia antara 20-an hingga 40-an.

Iklan

"Pemeriksaan lanjut dilakukan menemui satu paket kecil berisi serbuk serta ketulan kristal disyaki syabu seberat 0.46 gram, dengan seorang penjaga kilang didapati positif dadah," katanya dalam kenyataan pada Isnin

Hussin memberitahu penyelia kilang berusia 40-an yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk memberi keterangan pada kira-kira jam 10.30 malam Ahad, turut ditahan.

Iklan

"Tiga lelaki tempatan yang juga penyelia dan penjaga kilang itu ditahan reman empat hari bermula Isnin bagi membantu siasatan.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen selain Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kilang berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk menahan operasi kilang berkenaan selain Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) dan Aktiviti 14(b)(Ii) Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!