PENAMPANG - Wanita yang menjadi korban pertama dalam bencana banjir di negeri ini disifatkan seorang yang berhati mulia kerana sempat berkhidmat kepada masyarakat yang terjejas di Penampang.
Monica Ting Siew Kwong, 37, bersama suaminya dikatakan baru saja selesai menghantar makanan kepada penduduk yang terperangkap dalam banjir di Pekan Donggongon pada awal pagi Isnin.
Namun ketika mereka dalam perjalanan pulang dan cuba melalui kawasan banjir berhampiran Bulatan Sigah, mangsa dikatakan telah dibawa arus dan suaminya cuba membantu dengan menarik tangannya tetapi gagal.
Difahamkan, suami mangsa ketika ditemui pasukan penyelamat dalam keadaan panik sebelum memaklumkan isterinya hilang kira-kira 15 minit lalu.
Menerusi satu video berdurasi satu minit 20 saat yang tular di laman Facebook Info X, suami mangsa sempat menceritakan detik cemas dia bersama isteri yang hilang dibawa arus.
Pencarian kemudian dilakukan bersama pasukan penyelamat di mana suami mangsa tidak berhenti-henti memanggil nama isterinya di sepanjang lokasi pencarian.
Malah kejadian itu turut dimaklumkan kepada pihak polis untuk bantuan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum akhirnya mayat mangsa ditemui pada jam 8 pagi Isnin.
Menerusi perkongsian warganet, potret mangsa diabadikan bersama titipan terima kasih kerana bergadai nyawa membantu mangsa banjir lain.
Ucapan takziah kepada keluarga mendiang juga turut memenuhi ruangan komen pada potret mendiang yang dikongsikan warganet sejak pagi Isnin.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!