KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim mengesahkan akan mempertahankan kerusi disandangnya jika Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan kekosongan kerusi enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurutnya, beliau akan bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk berbincang mengenai hasrat tersebut, sekali gus memberi peluang kepadanya untuk mengekalkan kerusi itu.
"Saya akan gunakan alasan ini ketika jumpa pimpinan PH-BN untuk bertanding sekali lagi,” katanya ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Isnin.
Sementara itu ditanya sama ada beliau akan menyertai mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk bertanding sekiranya perlu mengosongkan kerusi Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi berkata, perkara itu masih belum diputuskan.
"Sekiranya berlaku kekosongan kerusi, saya tidak boleh menyertai mana-mana parti kerana memegang konsep saya tidak bersalah, saya dipecat oleh parti.
"Namun untuk penggunaan logo ketika bertanding, saya tidak boleh putuskan lagi kerana menunggu keputusan Speaker terlebih dahulu sebelum meminta pandangan peguam,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!