Setiap insan mengimpikan keluarga bahagia, miliki rumah yang selesa, kerjaya yang baik dan kehidupan yang harmoni. Pendek kata semua orang mahukan kediaman sebagai tempat berlindung ibarat sebuah syurga!
Namun dalam cabaran dunia globalisasi kini, untuk membina mahligai indah dan keluarga bahagia bagaikan mustahil.
Persoalannya, adakah ia benar-benar mustahil? Jawapan kepada persoalan itu terletak dalam tangan kita sendiri. Kebahagiaan bermula dari rumah.
Kebahagiaan juga tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Namun, pada zaman serba mencabar ini, tidak dinafikan wang dan harta merupakan satu keperluan dalam kehidupan.
Meskipun wang bukan segala-galanya, namun dalam kehidupan masa kini, segala-galanya memerlukan wang. Justeru, ekonomi yang kukuh mampu mengukuh lagi asas sesebuah keluarga yang dibina.
Bagaimanapun, tiada agama yang membenarkan penganutnya tersepit dengan hutang piutang hingga terjerat dengan skim pinjaman ‘ah long’ semata-mata hanya mahu ‘membeli’ kebahagiaan dunia.
Jaminan masa depan bermula dengan menerapkan amalan menabung dan menyimpan.
Miliki kediaman impian
Banyak cabaran untuk miliki kediaman sendiri. Antara puncanya, harga rumah semakin meningkat, masalah kelulusan pembiayaan bank, tiada simpanan untuk wang deposit, gaji pula kecil.
Memetik saranan Mentor Pejuang Hartanah dan Penasihat Kewangan Ieza Yusof Consultancy Sdn Bhd, Azim Sulaiman, setiap individu wajar cari jalan menyelesaikan masalah. Paling penting, fokus kepada isu yang boleh diatasi iaitu mendapatkan wang pembayaran deposit.
Rumah yang selesa dan harmoni tidak terletak kepada harga semata-mata. Meskipun bermula dengan sebuah kediaman yang kurang daripada RM100,000, kebahagiaan boleh dimiliki andai penghuninya bijak mengatur kehidupan berkeluarga.
Tiga perkara penting jika merancang untuk miliki kediaman sendiri:
1. Urus pendapatan-Terdapat beberapa teknik mudah yang boleh dibuat dalam usaha mengumpul wang deposit seterusnya merealisasikan impian miliki rumah pertama. Mula dari awal kerjaya, janji kena konsisten!
-Pengeluaran caruman: Syaratnya anda adalah pencarum (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Jumlah dana yang boleh digunakan bergantung pada jumlah dalam Akaun 2 sahaja.
-Teknik tabungan: Agihkan 10% daripada gaji/pendapatan bulanan setiap bulan. Apabila ada penambahan pendapatan, tambahkan agihan kepada 20% supaya tabungan meningkat dengan cepat.
-Buat pelaburan: Melaburlah di tempat yang betul, misalnya Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau anda juga boleh memilih mana-mana unit amanah di bawah produk Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Selain untuk pembelian rumah, lebihan pelaburan boleh dibuat modal berniaga!
-Jika ini rumah pertama, sesuaikan dengan pendapatan bulanan dan beli kediaman mampu milik. Jangan terburu-buru mengikut kehendak hati atau terpengaruh dengan apa yang orang lain miliki. Fahami secara jelas konsep hartanah yang mahu dibeli. Semak semua jenis dan bentuk kos sebelum membeli. Cari ilmu, buat kaji selidik mengenai asas-asas hartanah dan jenis kediaman yang diinginkan. Buat temujanji dengan Penasihat Kewangan bagi mengenal pasti kemampuan membeli rumah secara realistik.
- Ada sesetengah hartanah menyediakan yuran penyelenggaraan yang tinggi. Kenal pasti sama ada pemaju bina hartanah di atas tanah kediaman atau komersial. Jika melibatkan tanah komersial anda perlu membayar cukai dan kadar utiliti yang lebih tinggi. Hartanah strata seperti pangsapuri dan kondominium juga ada kos tambahan seperti yuran penyelenggaraan dan insurans. Setelah semak, ambil kira kos ini dalam bajet bulanan untuk elak masalah membuat bayaran kelak.
3. Bantuan konsultan-Pastikan ejen hartanah yang dipilih benar-benar layak, berdaftar, mempunyai pengalaman dan berkelayakan supaya mereka dapat memberi nasihat yang terbaik kepada anda. Begitu juga dengan peguam, dapatkan yang benar-benar fokus dalam hartanah supaya proses jual beli berjalan lancar tanpa masalah.
-Tanya rakan dan saudara mara yang pernah membeli rumah atau ejen hartanah untuk dapatkan peguam yang baik dan mahir. Guna khidmat peguam yang ada reputasi cemerlang kerana dia akan menjaga amanah dengan baik dan tidak sambil lewa.
Membina keluarga bahagia
Anda kini berjaya miliki kediaman sendiri. Meskipun pelbagai rintangan dilalui, anda berjaya tempuhi malah urusan pembiayaan rumah secara bulanan juga teratur mengikut jadual.
Kini tiba masa untuk anda membina sebuah keluarga bahagia dengan persekitaran kediaman yang kondusif. Kestabilan ekonomi disertai dengan kediaman yang selesa menjadikan sesebuah keluarga itu sihat, kurang berpenyakit sekali gus mengurang kos.
Perjalanan untuk mencipta kebahagiaan amatlah mudah. Membina sebuah rumah tangga yang aman damai mestilah bermula dengan rumah tangga yang saling mencintai satu sama lain. Ibu bapa yang mencintai anak-anaknya. Suami yang mencintai isterinya dan isteri yang mencintai suaminya. Dilengkapi dengan anak-anak yang mencintai dan menghormati orang tuanya.
Bagaimana caranya?
- Kreatif mencipta suasana yang harmoni dan tenang dalam rumah. Hiasi kediaman dengan warna-warna yang lembut dan barangan atau perabot yang minima.
- Tidak perlu membazir tidak perlu berhutang. Kreatif dan inovatif adalah cara terbaik. Guna pakai dan reka cipta barangan terbuang bersama anak-anak. Aktiviti ini akan lebih menyeronokkan.
- Ketua rumah tangga yang bijak sentiasa ada perancangan jangka panjang untuk ahli keluarganya sama ada dari segi kewangan, pelajaran dan tempat percutian.
- Keluarga Islam, pastikan sekurang-kurangnya dua waktu sembahyang berjemaah bersama-sama ahli keluarga dilakukan untuk merapatkan hubungan dan kemesraan. Anak-anak akan lebih menghormati.