Lapan negara sertai kejohanan Powerboat Royal Pahang F3000

Iklan
Yu Man (dua dari kiri) bergambar dengan bot yang akan digunakan untuk Royal Pahang F3000 Powerboat Championship selepas sidang media sempena Pesta Kuantan 188 hari ini - Foto: Bernama

LAPAN negara akan berentap dalam Kejohanan Powerboat Royal Pahang F3000 yang bakal berlangsung di Sungai Kuantan, bermula 2 hingga 4 Ogos ini sempena Pesta Kuantan 188.

Kejohanan bakal disertai pemandu tempatan dan antarabangsa dari Brazil, New Zealand, Amerika Syarikat, Brunei, Singapura, Papua New Guinea, Australia selain Malaysia dengan dua kategori dipertandingkan iaitu 1.5 kilometer perlumbaan sirkit dan perlumbaan drag.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, acara berkenaan julung kali dianjurkan sempena pesta itu yang menjangkakan kehadiran lebih 100,000 pengunjung.

"Saya merasakan kejohanan ini juga akan menjadi tumpuan orang ramai yang ingin melihat acara ini dengan lebih dekat," katanya pada sidang media Pesta Kuantan 188 di sini hari ini.

Iklan

Pesta Kuantan 188 diadakan sempena meraikan hari keputeraan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai dan isteri Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 5 Ogos.

Berlangsung di pekarangan Menara Kuantan, antara acara lain yang bakal menjadi tarikan termasuk persembahan konsert artis tempatan dan luar negara, perlumbaan K188 Fun Race dan pameran K188 Cars and Coffee yang menghimpunkan 110 buah kereta antik. - Bernama

Iklan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!