Banjir Sabah: Hajiji arah semua PBT bersiap sedia

Iklan
Hajiji Noor menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pusat Kebudayaan Penampang hari ini. Foto Bernama

PENAMPANG - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri untuk senantiasa bersiap-sedia pada musim hujan.

"Pastikan semua longkang dibersihkan. Jangan tunggu hujan baru ambil tindakan. Kita mesti bersedia setiap masa," katanya dalam satu kenyataan selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Pusat Kebudayaan Penampang di sini hari ini.

Iklan
Iklan

Ketua Menteri itu berkata, kerajaan Sabah dan Persekutuan amat prihatin terhadap mereka yang terjejas akibat banjir kilat dan akan membantu semua mangsa.

Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang turut akan menghulurkan bantuan.

Iklan

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan untuk membantu penduduk yang rumah mereka mengalami kerosakan teruk walaupun tidak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Sebelum itu, Pegawai Daerah, Francis Chong semasa memberikan taklimat kepada Ketua Menteri berkata, pada masa ini masih terdapat 67 keluarga membabitkan 165 penduduk berlindung di pusat pemindahan sementara sejak pusat itu diaktifkan pada Ahad petang.

Iklan

Beliau juga dimaklumkan bahawa 11 kampung di sekitar daerah Penampang ditenggelami air akibat hujan lebat pada Ahad.

Kemudian, Hajiji diiringi Ewon, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Limus Juri dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Datuk Awang Shaminan Sahari turut meninjau keadaan banjir di Kampung Tuavon dan Hungab. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!