PAPAR - Dua lelaki maut selepas treler yang dinaiki terbabas sendiri sebelum terbalik ke bahu jalan di Jalan Kimanis-Keningau pada petang Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 5.11 petang.
Menurutnya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari BBP Kimanis.
"Kemalangan melibatkan sebuah treler yang membawa muatan jentera berat iaitu mesin berantai dan terbabas sendiri di bahu jalan lalu terbalik.
"Akibat kejadian itu, dua mangsa dilaporkan tercampak sebelum tersepit dengan jentera yang dibawa. Pasukan bomba segera menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas sebelum kedua-duanya disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Mohd Johainin berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 7.03 malam selepas tiada lagi bahaya di lokasi kejadian
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!