Maritim tahan kapal kargo bawa muatan rokok

Iklan
Penemuan empat buah kontena yang mengandungi pelbagai rokok berjenama.

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan sebuah kapal kargo yang membawa empat kontena muatan rokok pelbagai jenama di kawasan perairan negeri ini pada Jumaat lalu.

Kapal kontena itu ditahan pada jam 10.45 pagi selepas dikesan berlabuh dalam keadaan yang mencurigakan dengan tidak mengaktifkan sistem pengesanan automatik (AIS).

Iklan
Iklan

Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, bertindak atas maklumat risikan pihaknya telah menggerakkan aset untuk ke lokasi bagi tujuan pemeriksaan.

"Hasilnya membawa kepada penemuan empat buah kontena yang mengandungi pelbagai rokok berjenama.

Iklan

"Pada masa sama, kita telah menahan seorang nakhoda bersama tujuh kru warganegara Indonesia berumur di antara 23 hingga 48 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal terbabit gagal untuk mengemukakan surat kebenaran bersauh oleh Pengarah Jabatan Laut Malaysia selain dokumen manifest kapal yang diserahkan turut meragukan.

Iklan

Erwan Shah berkata, kapal dan kesemua kru kemudiannya ditahan dan dibawa ke Maritim Malaysia Kelantan untuk siasatan lanjut.

"Kes akan disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan Seksyen 491E Ordinan yang sama kerana gagal mengaktifkan Sistem Pengesanan Automatik (AIS) tanpa sebab yang munasabah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!