EMPAT wakil negara menempah slot aksi akhir badminton temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024 selepas menyingkirkan pencabar masing-masing dalam perlawanan separuh akhir di Pusat Konvensyen Graha Cakrawala, Universitas Negeri Malang pada Isnin.
Perkembangan positif itu bakal menyaksikan skuad negara berpeluang mempertahankan pingat emas dalam acara perseorangan lelaki dan beregu wanita yang dimenangi pada edisi Ubon Ratchathani, Thailand dua tahun lalu.
Pemain perseorangan lelaki negara, Hooi Shao Herng mengesahkan kemaraan selepas menjinakkan wakil Thailand, Arree Puritat, 21-19, 16-21, 21-13 bagi berdepan seorang lagi pemain Gajah Perang, Pusri Nachakorn pilihan pertama yang menewaskan wakil negara Anson Cheong Yen Feng, 21-11, 21-10.
Beregu lelaki negara, Wong Tien Ci-Liew Xun yang juga pilihan kedua menyambar slot final selepas menang 'straight set' ke atas wakil Thailand, Mangkornloi Neuaduang-Promsarin Paramet, 23-21, 21-19 bagi berdepan pilihan pertama Elgiffani Muhammad Juan-Purnama Reza Dwicahya yang menewaskan gandingan Thailand, Teerawiwat Apichasit-Kanjanakeereewo Vichayapong, 25-23, 19-21, 21-13.
Turut mara beregu wanita negara, Siow Valeree Zi Xuan-Lee Xin Jie yang menewaskan pilihan kedua dari Thailand, Rungruengpramon Pattaraporn -Pichamon Phatcharaphisutsin, 21-15, 21-17, bagi bertarung menentang berdepan lawan dari negara sama, Atitaya Povanon-Chasinee Korepap.
Beregu campuran negara yang juga pilihan kedua, Wee Yee Hern-Ng Qi Xuan juga mara selepas menewaskan gandingan Indonesia, Gerardo Rizqullah Hafidz-Tyrola Nadia, 21-10, 21-18.
Yee Hern-Qi Xuan akan berdepan satu lagi wakil Indonesia, Elgiffani Muhammad Juan-Jovita Elizabeth yang menyisihkan pilihan pertama dari Thailand, Mangkornloi Neuaduang-Povanon Atitaya, 2113, 21-18.
Sementara itu, pengendali skuad negara, Datuk Rashid Sidek mengharapkan anak buahnya dapat meneruskan aksi konsisten dalam pemburuan pingat emas pada Selasa.
"Alhamdullilah, apa yang disasarkan tercapai pada hari ini. Cuma sukar pada perseorangan wanita. Kita cuba yang terbaik untuk dapatkan seberapa banyak pingat emas di final esok.
"Semoga seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan pasukan badminton dan kontinjen negara di AUG 2024," kata legenda badminton negara itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!