Politik negara dipenuhi kebencian terlalu menebal - PM Anwar

Iklan
Anwar. Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri menyifatkan persekitaran politik negara dipenuhi dengan kebencian yang terlalu menebal.

Ini kerana kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, apa yang dilaksanakan kerajaan sering kali dijadikan isu politik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Iklan
Iklan

"Tidak ambil gaji dihina, banteras rasuah dihina, baik dengan Hamas pun dihina.

"Dengan BlackRock pun dia kata ejen Yahudi.

Iklan

"Fakta tidak sama sekali dipedulikan, yang dilontarkan adalah kebencian," katanya ketika berucap di hadapan 700 kakitangan Perbendaharaan dan agensi Kementerian Kewangan, di sini pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Kewangan II; Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri; Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan; Datuk Johan Mahmood Merican.

Iklan

Menurutnya, seorang pemimpin politik dalam ucapan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Pulau Pinang turut menggelarkan beliau sebagai dajal.

"Kalau lihat di media sosial ucapan (kempen) Sungai Bakap apa yang tidak panggil? Dajal, ejen Yahudi, Israel, jual negara kepada China.

"Sering kali, saya jawab sikit- sikit, tapi saya tidak peduli kerana saya fikir kita mempunyai tugas," katanya.

Meskipun dikritik, beliau berkata, kerajaan pimpinannya terus bekerja untuk memastikan martabat negara diangkat ke tahap yang sepatutnya.

"Adakah (kritikan) ini harus mengganggu kita? Tidak. Dua hari sudah saya umumkan matrikulasi, itu pun jadi isu politik," jelasnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak mempunyai pilihan untuk memastikan hasil dan kekayaan negara berkembang.

"Saudara, saya tidak ada pilihan. Kita pegang amanah. Terima kasih kepada saudara dan kementerian lain," katanya.

Tambah Anwar, beliau mempunyai keyakinan tinggi bahawa Malaysia mempunyai potensi untuk terus berdaya saing.

"Saya mewakili generasi sudah tua, tetapi punya cita-cita yang sangat tinggi untuk menjamin generasi akan datang agar negara ini diangkat martabatnya.

"Sebagai orang tua saya hanya mampu menyeru kepada saudara dan anak-anak untuk melakukan sesuatu untuk menentukan kita terangkat ke peringkat ini. Itu saja," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!