Penagih dadah ditahan selepas aksi kejar-mengejar

Iklan
Pemandu kenderaan jenis Perodua Bezza ditahan setelah terlibat kemalangan dengan kenderaan MPV polis ketika cuba melepaskan diri di Cybersouth Dengkil, Selangor pada Isnin. (Gambar kecil: Wan Kamarul Azran.)

SEPANG - Seorang pemuda berusia 29 tahun yang dipercayai penagih dadah ditahan setelah aksi kejar-mengejar dengan sebuah kenderaan MPV polis berakhir dengan kemalangan di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sekitar jam 9.30 malam, anggota polis yang bertugas membuat rondaan di Jalan Cyberjaya-Dengkil mengesan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, anggota polis terlibat telah mengarahkan kenderaan tersebut untuk berhenti, namun suspek bertindak memecut laju.

Menurutnya, ekoran itu, anggota polis bertindak mengejar kenderaan tersebut sehingga ke Jalan Kita Impian, Cybersouth Dengkil.

Iklan

"Semasa aksi kejar-mengejar itu, berlaku kemalangan antara kenderaan MPV polis dan kenderaan yang dipandu oleh supek.

"Polis bagaimanapun berjaya menangkap suspek yang mempunyai pelbagai rekod lampau," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan
Pemandu kenderaan jenis Perodua Bezza ditahan setelah terlibat kemalangan dengan kenderaan MPV polis ketika cuba melepaskan diri di Cybersouth Dengkil, Selangor pada Isnin.

Wan Kamarul Azran berkata, saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine serta benzo.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai untuk tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan tidak berkongsi berita tidak benar berhubung kejadian ini," tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!