Pandu bas persiaran tanpa lesen, lelaki beri alasan ganti abang tidak sihat

Iklan
Muhammad Kifli menyoal siasat salah seorang pemandu bas persiaran dalam operasi bersepadu di sini, pada Selasa.

GOMBAK - Seorang lelaki memberi alasan memandu bas persiaran tanpa lesen kerana menggantikan abangnya yang tidak sihat.

Pemandu warga tempatan berusia 36 tahun yang enggan dikenali berkata, abangnya sepatutnya memandu bas berkenaan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang, pada Selasa.

Iklan
Iklan

"Disebabkan abang tidak sihat, dia meminta saya menggantikannya, namun selepas tiba di Plaza Tol Gombak, bas telah ditahan oleh anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya ketika ditemui di Stesen Penguatkuasa Gombak JPJ, di sini, pada Selasa.

Bas persiaran yang dipandu lelaki itu telah diperiksa dan disita selama dua jam bermula jam 7.30 pagi, sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan selepas abangnya sampai untuk mengambil alih tugas sebagai pemandu.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, lelaki itu antara dua individu yang dikesan memandu bas persiaran tiada lesen.

"Kita mengesan dua pemandu bas persiaran tidak mempunyai lesen memandu dan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), ia merupakan satu kesalahan yang sangat serius," tegasnya.

Iklan

Muhammad Kifli berkata, operasi bersepadu itu turut melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

"Seramai 70 pegawai dan anggota dari agensi yang terlibat telah melakukan operasi pada jam 6 pagi, kita memberi tumpuan terhadap bas persiaran dan bas ekspres," katanya.

Muhammad Kifli berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu bas yang didapati melakukan kesalahan.

"Kita mengambil tindakan yang drastik dengan menyita sementara bas berkenaan sehingga syarikat terbabit menggantikan pemandu yang mempunyai lesen sah," ujarnya.

Beliau berkata, pihak Motac telah mengesan kesalahan tiga bas persiaran tidak mempunyai pemandu pelancong.

"AADK pula telah melaksanakan ujian air kencing terhadap 22 pemandu bas, hanya seorang pemandu berusia 30-an dikesan positif dadah," katanya.

Pada Isnin, media melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan JPJ mengadakan operasi bersepadu besar-besaran terhadap bas persiaran di seluruh negara bermula Selasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!