84 peratus golongan dewasa di Malaysia tidak aktif sukan

Iklan
Nor Hayati (dua dari kanan) melawat reruai selepas Majlis Pelancaran LIFE HASA UiTM Puncak Alam di Auditorium 1, Aras 2 di sini pada Selasa. Nor Hayati (dua dari kanan) melawat reruai selepas Majlis Pelancaran LIFE HASA UiTM Puncak Alam di Auditorium 1, Aras 2 di sini pada Selasa.
Nor Hayati (dua dari kanan) melawat reruai selepas Majlis Pelancaran LIFE HASA UiTM Puncak Alam di Auditorium 1, Aras 2 di sini pada Selasa.

KUALA SELANGOR - Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) tahun lalu melaporkan 84 peratus dalam kalangan dewasa di negara ini tidak aktif dalam sukan dan aktiviti kecergasan.

Pensyarah Akademi Kecergasan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Nursyuhada Mohd Sukri berkata, peratusan sama juga menunjukkan orang dewasa Malaysia tidak berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, salah satu punca yang menyebabkan pekerja kurang aktiviti fizikal adalah disebabkan gaya hidup sedentari terutama bekerja melibatkan komputer yang lebih banyak duduk daripada bergerak.

"Hasil penyelidikan melaporkan kadar kematian meningkat sebanyak dua peratus untuk setiap jam duduk dan boleh meningkat lagi sehingga lapan peratus jika jumlah duduk melebihi lapan jam sehari," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian semasa ceramah sempena Majlis Pelancaran Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) 'Healthy Lifestyle Campaign' (LIFE) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di Auditorium 1, Aras 2 di sini pada Selasa.

Dr Nursyuhada Dr Nursyuhada
Dr Nursyuhada

Dr Nursyuhada memberitahu, kekurangan aktiviti berbentuk fizikal boleh membawa kepada masalah berat badan berlebihan dan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan orang dewasa yang bekerja.

Iklan

Ujar beliau, pembangunan teknologi yang pesat menyebabkan kebanyakan tugasan kerja dapat dilakukan daripada jauh dengan menggunakan komputer dan gajet lain sekali gus menggalakkan tingkah laku sedentari.

"Kecergasan bukan hobi bermusim, ia adalah gaya hidup, oleh itu, apa sahaja pergerakan fizikal adalah lebih baik daripada tidak bergerak," tambah beliau.

Penolong Pendaftar (Pendidikan Kesihatan) HASA UiTM Puncak Alam, Muhammad Akram Mat Radzi berkata, pihaknya sentiasa menyumbang 'buah fikiran' kepada pihak pengurusan hospital dalam mewujudkan persekitaran tempat kerja yang menyokong kepada pembudayaan hidup aktif dan sihat.

"Antara program dijalankan seperti HASA LIFE yang dilancarkan pada hari ini (Selasa) meliputi beberapa beberapa komponen kempen pembudayaan hidup sihat iaitu aktiviti fizikal, pemakanan, minda sihat serta berhenti merokok.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Strategi) UiTM, Profesor Dr Nor Hayati Saad berkata, HASA dicadang mewujudkan sudut 'release stress corner' bagi memberikan ruang kepada warga kerjanya merehatkan minda sambil beriadah pada waktu rehat.

Katanya, ruang itu diharap dapat membantu warga kerja menjalani gaya hidup sihat, mengurangkan tekanan kerja dan dapat mengeratkan silaturahim

Menurut beliau, pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan di sudut terbabit antaranya aktiviti bermain ping-pong bersama-sama staf daripada pelbagai jabatan.

"Mungkin dengan adanya sumbangan daripada pelbagai pihak ruang terbabit boleh dihias agar lebih cantik," katanya.

Nor Hayati memberitahu, UiTM bukan hanya bertanggungjawab membangunkan bakat dalam kalangan warganya, bahkan juga mempunyai tanggungjawab besar untuk memperkasa komuniti melalui program pemindahan dan perkongsian ilmu (KSTP).

"KSTP amat penting dalam memberikan nilai tambah kerana hasil penyelidikan dan keilmuan yang dijana di hospital pengajar universiti dipulangkan semula kepada masyarakat.

"Limpahan manfaat tidak hanya dirasai oleh warga hospital pengajar universiti, malah turut dinikmati oleh komuniti selaras dengan konsep Malaysia Madani," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!