JPJ Terengganu tingkatkan pemeriksaan pastikan bas patuhi peraturan

Iklan
Mohd Zamri ketika sidang akhbar pada Selasa.

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu akan mempergiatkan usaha pemeriksaan bas di terminal bas sepanjang minggu bagi mengesan sebarang ketidakpatuhan undang-undang yang dilakukan operator bas terlibat.

Pengarahnya, Mohd Zamri Samion menyatakan pihaknya turut melakukan pemeriksaan pada hari biasa bagi memastikan pengusaha pengangkutan awam mematuhi peraturan ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Dalam tempoh seminggu terutama pada hujung minggu sememangnya ada pemeriksaan khsusus di terminal bas namun kita akan mempergiatkan lagi usaha pemeriksaan sepanjang minggu di terminal dengan melakukan pemeriksaan secara rawak terhadap setiap bas berkenaan.

"Kita tidak tunggu hanya pada operasi khas tetapi pada hari biasa pun memang adakan pemeriksaan bagi memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan melibatkan perkhidmatan pengangkutan awam ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini.

Iklan

Sabtu lalu, dilaporkan dua penumpang maut selepas bas persiaran membawa pelancong warga China terbalik di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands, Bentong, Pahang.

Siasatan lanjut mendapati pemandu bas berusia 32 tahun itu tidak mempunyai lesen memandu selain mempunyai 27 saman trafik lampau membabitkan pelbagai kesalahan.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Zamri menyatakan antara kesalahan yang sering dilakukan pemandu bas melibatkan aspek teknikal iaitu tayar serta tidak mempunyai lesen memandu.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan dijalankan setakat ini mendapati kebanyakan pemandu bas persiaran di negeri ini masih mematuhi peraturan ditetapkan.

"Setakat pemeriksaan dijalankan di terminal bas belum menjumpai sebarang kesalahan besar yang dibuat oleh pemandu bas terbabit.

"Malah sepanjang Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang berakhir Ahad lepas hanya satu kesalahan dikesan tetapi agak kecil iaitu keretakan cermin bas. Jadi kita anggap bahawa pematuhan pemandu bas di Terengganu terhadap aspek keselamatan agak tinggi," ulasnya.