ATLET negara, Queenie Ting Kung Ni menghadiahkan emas pertama hari ketujuh buat kontinjen Malaysia dalam acara lempar cakera wanita temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya Malang 2024 pada Selasa.
Pada aksi yang berlangsung di Lapangan Atletik FIK Universitas Negeri Surabaya (UNIESA) itu, Queenie atlet berusia 26 tahun kelahiran Sarike, Sarawak tersebut mencatatkan lemparan 45.23 meter (m).
Queenie penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu meninggalkan pesaing dua pesaing terdekat dari Indonesia, Wahyu Nur Aini (43.41m) dan Maria Aviliationo (42.47m).
Seorang lagi atlet negara, Nani Sahir Maryata juga penuntut UPM berusia 22 tahun dari Pahang meraih tempat keempat dengan catatan 40.39m diikuti wakil Singapura, Qi Xin Foo (33.44m).
Sementara itu, raja pecut 100m negara, Muhammad Azeem Fahmi mara ke pentas akhir selepas mengungguli saringan dua.
Penuntut Auburn University itu mengungguli saingan dengan catatan masa 10.55 saat (s) diikuti pelari Indonesia, Jaelani Fatah Sidik kedua (10.76s).
Wakil Indonesia, Lalu Muhamad Zohri sebelum itu juga layak selepas mengungguli saringan satu dengan catatan masa 10.41s diikuti seorang lagi pelari Malaysia, Aliff Iman Mohd Fahimi (10.82s).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!