PRK Sungai Bakap: Calon PH teruja kempen guna TikTok capai kumpulan sasar

Iklan
Joohari ketika ditemu bual sempena kempen PRK Sungai Bakap di Kampung Sungai Buaya pada Isnin.

NIBONG TEBAL - Penggunaan media sosial terutamanya TikTok sebagai medium kempen pilihan raya diakui oleh calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin berjaya membawa capaian yang lebih menyeluruh kepada kumpulan sasar.

Beliau yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berkata, penggunaan TikTok pada masa ini sangat meluas kerana ia mudah diakses dengan telefon pintar dan digunakan oleh semua peringkat umur.

Iklan
Iklan

"Kalau tengok hantaran video TikTok kita sekarang cukup hits. Ada video yang mencecah hingga 240,000 viewers (tontonan) sehingga kini.

"Kita kena ikut (peredaran zaman). Itu strategi kempen cara baharu yang berkesan. Dalam satu hari, pasukan kita akan buat dua atau tiga kandungan TikTok,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa berkempen di sekitar Sungai Kechil, di sini semalam.

Iklan

Joohari yang mesra disapa Cikgu Joo turut mengakui persaingan dalam mana-mana pilihan raya kini bukan sekadar persaingan merebut tempat sebagai wakil rakyat, tetapi juga menjadi medan menunjukkan kreativiti masing-masing dalam media sosial.

"Kalau kita sebut dalam konteks perbezaan media sosial semasa PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) dahulu, rata-rata penggunaan (TikTok) adalah daripada golongan muda. Tapi sekarang ini orang tua pun dah pandai scroll tengok TikTok.

Iklan

"Kemeriahan (kempen) memang nampak kat bendera tapi hakikatnya yang tidak keluar rumah itu, (layari TikTok) maklumat sampai,” katanya.

Joohari (kiri) beramah mesra dengan Che Dan Razak, 85, ketika bertemu pengundi di Kampung Sungai Buaya pada Isnin. Foto Bernama

Beliau berkata, biarpun Internet sudah lama wujud, faktor pertambahan pengundi celik teknologi maklumat (IT) yang ketara menjadikan media sosial muncul sebagai platform paling signifikan dalam usaha memikat hati pengundi.

Dalam pada itu, Joohari memaklumkan jentera PH juga menggunakan strategi hantaran video calon turun ke kawasan bertemu dan menyantuni pengundi yang disebarkan kepada komuniti sasaran, sebagai sebahagian daripada kempennya.

"Setiap kali kita berjumpa pengundi kawasan tempatan, pasukan akan rekod video dan sebarkan dalam kalangan penduduk kampung terbabit melalui pemimpin-pemimpin tempatan.

"Nampak penerimaannya okey. Saya percaya semua baik dan harapnya mereka akan keluar mengundi nanti,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertandingan satu lawan satu, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas, akibat keradangan dalam perut. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!