[VIDEO] Enggan bermain gajet, Rania jadikan haiwan ternakan 'rakan karib'

Iklan

KUALA NERUS - Ketika kanak-kanak seusianya menghabiskan masa lapang dengan bermain gajet, Wan Rania Amanda Wan Mohd Faizal memilih haiwan ternakan bapanya sebagai rakan karib sehingga tidak boleh berenggang walaupun sehari.

Kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu menunjukkan minat terhadap haiwan ternakan sejak berusia tujuh tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sifat semula jadi dan telatah yang ada pada kambing serta lembu di kandang bapanya di Baruh Tok Jiring dekat sini mencuit hati sekali gus memberikan energi positif terhadap dirinya.

Rania memberi makan sambil bermanja dengan haiwan ternakan di kandang bapanya di Baruh Tok Jiring, Kuala Nerus.

"Saya akan meluangkan masa dengan haiwan-haiwan ini pada sebelah petang srlepas mengikuti sesi pembelajaran di waktu pagi.

Iklan

"Saya rasa seronok dan tenang dapat membelai haiwan-haiwan ternakan ini dan boleh merasai 'perasaan' mereka seperti rasa sedih atau rasa gembira.

"Sepanjang waktu cuti sekolah juga, dia akan menghabiskan waktu lapang untuk bermain dengan kambing betina kesayangannya seperti 'Rocky' dan 'Bobby' serta lembu iaitu 'Jate' dan 'Flora'," katanya ketika ditemui pemberita di kandang bapanya dekat sini, pada petang Isnin.

Rania tidak kekok memegang haiwan ternakan sambil berinteraksi dengan haiwan-haiwan itu.

Iklan

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, dia telah mendalami beberapa kaedah penjagaan haiwan ternakan hasil dorongan bapanya melalui YouTube Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Menurut Wan Rania Amanda, dia semakin mahir dalam ilmu penternakan seperti rawatan sakit perut dan penjagaan anak haiwan yang baru dilahirkan.

"Saya semakin mahir menjaga anak kambing dan lembu serta ternakan yang bunting dan sedang mempelajari jenis-jenis penyakit-penyakit haiwan yang lain.

"Saya juga tidak berasa kekok untuk memberi makan, bergurau-senda, bermain kejar-kejar dengan haiwan-haiwan ini sebab saya rasa seronok dan mereka seolah-olah seperti rakan karib saya," ujar murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 itu.

Sementara itu, bapanya, Wan Mohd Faizal Wan Zulkefli, 37 yang juga seorang kontraktor berkata, Wan Rania Amanda yang meminati subjek Sains dan Bahasa Inggeris menyimpan hasrat untuk menjadi seorang doktor veterinar suatu hari nanti.

Katanya, dia dan isteri, Shaima Nadhirah M.Muslim, 32 berharap anaknya berjaya menjadi seorang doktor veterinar serta bergelar usahawan ternakan.

Menjadi rutin harian Rania untuk memastikan kambing dan lembu yang dipelihara bapanya diberi makan dan dirawat sekiranya terdapat haiwan yang sakit.

"Kandang ternakan yang ada ini menjadi platform untuk melatih Rania dan empat lagi adiknya supaya dapat pendedahan kepada bidang ternakan pada masa depan.

"Rania tunjuk minat yang mendalam terhadap haiwan, agak berbeza dengan adik-adiknya. Kalau saya tak bawa ke kandang setiap petang dia akan merajuk kecuali kalau saya ada alasan kukuh seperti berada di luar Terengganu atau tidak sihat.

"Dia terlalu sayangkan haiwan-haiwan ini. Di rumah pun dia ada bela hamster dan kambing kerdil 'Nigerian Dwarf' yang menjadi haiwan kesayangannya," katanya.

Wan Mohd Faizal kini memiliki 350 ekor kambing dan lembu di tiga kandang miliknya yang terletak di lokasi berasingan.

Katanya, dia berhasrat mahu membesarkan lagi perusahaan itu bagi menyahut seruan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam bidang ternakan.

"Kita faham bahawa sumber makanan kita pada masa akan datang akan berdepan cabaran, jadi ini adalah salah satu cara saya memupuk minat anak-anak untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini,"ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!