PARIT BUNTAR - Semua institusi pendidikan diberi peringatan supaya tidak menyorokkan kes buli yang berlaku membabitkan pelajar.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkara itu penting agar kes yang berlaku itu dapat ditangani dengan tindakan sewajarnya terutama di peringkat kementerian.
"Kita tidak mahu lagi ada kes-kes yang disebut sebagai 'bawah karpet'.
"Sebenarnya kita boleh ambil langkah selesaikan dengan cara baik kerana kita sudah ada pendekatan dalam mengendalikan aduan.
"Salah satunya menerusi sistem pengurusan aduan awam (Sispaa) yang mana mereka diberikan ruang penuh, telus dan berintegriti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Anti Buli Peringkat Daerah Kerian di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Krian di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson.
Fadhlina berkata, data 5,000 kes buli di sekolah yang direkodkan tahun lalu menunjukkan orang ramai semakin sedar mengenai ruang yang disediakan dalam melaporkan gejala berkenaan.
"Jadi saya mahu lihat perkara ini dari sudut lebih positif dalam mengangkat aduan-aduan ini untuk tindakan kita," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Kementerian Pendidikan telah pun menambah baik garis panduan anti buli dengan kerjasama semua agensi termasuk polis.
Katanya, penambahbaikan itu antara lain dapat meningkatkan keupayaan dan peranan guru serta kaunselor dalam menangani isu buli pelajar.
"Kita mahu mendukung pengetua sekolah melalui ekosistem sekolah selamat dan saya yakin dengan kerjasama semua, kita dapat menangani gejala buli dengan lebih berkesan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!