Pembelaan Najib dibenar sertai semakan kebenaran keputusan Lembaga Pengampunan

Iklan
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan untuk menyertai prosiding permohonan Badan Peguam Malaysia, bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, di Mahkamah Tinggi di sini, pada Selasa.

Ia berhubung permohonan badan itu untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri terbabit.

Iklan
Iklan

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan demikian selepas pihak Najib memohon untuk berhujah kerana ia melibatkan kepentingan anak guamnya.

"Demi keadilan, saya menangguhkan prosiding hari ini bagi pihak responden kedua memfailkan hujahan bertulis dalam tempoh sebulan,” kata hakim itu.

Iklan

Semasa prosiding, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 71, berkata, mereka hanya mengetahui perkara berkenaan pagi ini.

Peguam itu kemudiannya memohon untuk menyertai prosiding dan berhujah, selepas Badan Peguam selaku pemohon yang diwakili peguam, Zainur Zakaria selesai mengemukakan hujahan.

Iklan

Bagaimanapun, Zainur membantah permohonan Najib selaku responden kedua, dengan menyatakan prosiding terbabit tidak melibatkan bekas Presiden UMNO itu.

Hakim kemudian memberi masa tiga minggu kepada Muhammad Shafee untuk memfailkan hujahan dan kemudian menangguhkan prosiding kepada 18 September depan.

Sebelum ini, mahkamah dijadualkan untuk mendengar permohonan pemohon untuk mengemukakan hujahannya secara ‘ex-parte’ atau sebelah pihak.

Pada 2 Februari lalu, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, dengan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Badan Peguam memfailkan permohonan kebenaran itu melalui firma guaman Amir & Rajpal Ghai dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, serta Najib sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonan berkenaan, Badan Peguam memohon perisytiharan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Sehubungan itu, ia memohon perintah certiorari terhadap lembaga terbabit untuk membatalkannya.

Badan itu juga memohon injunksi kekal menghalang bekas perdana menteri atau wakilnya daripada mengemukakan sebarang permohonan untuk pengampunan, tunda hukum atau lega hukum kepada Lembaga Pengampunan.

Turut dipohon, perintah larangan terhadap Lembaga Pengampunan untuk menerima, mempertimbangkan atau menentukan sebarang permohonan daripada Najib bagi pengampunan, tunda hukum atau lega hukum.

Permohonan injunksi dan perintah larangan itu adalah sehingga atau melainkan semua pendakwaan jenayah atau pertuduhan terhadap Najib selesai; Najib secara terbuka mengambil tanggungjawab atas tindakannya yang beliau telah disabitkan; dan beliau menyatakan keinsafan dan penyesalan atas tindakan berkenaan.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan), Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!