SHAH ALAM - Selepas berjaya melakukan ibadah korban pada tahun ini dengan hasil mengumpul duit syiling 50 sen, seorang remaja, Zara Dinie Mohd Yahya, 14, berhasrat untuk meneruskan usaha tersebut pada masa akan datang.
Ibu kepada Zara Dinie, Fauziah Hussin, 54, berkata, anaknya itu ada meluahkan hasratnya untuk terus mengumpul duit syiling tetapi tidak tertumpu kepada 50 sen semata-mata.
"Dia ada cakap dekat keluarga, kita kumpul duit syiling pula selepas ini untuk korban, tidak kira jumlahnya. Mungkin seronok dapat melakukan ibadah korban dengan hasil titik peluh sendiri.
"Sebenarnya saya dan keluarga pernah tawarkan duit kami dulu, bila tabung sudah cukup boleh guna duit 50 sen untuk tahun lain tetapi dia tidak mahu. Alasannya mahu cipta sejarah tersendiri," katanya.
Sebelum ini, tular sebuah video dan gambar di laman Facebook yang memaparkan seorang remaja berjaya melakukan ibadah korban dengan hasil mengumpul duit 50 sen.
Zara Dinie nekad mengumpulkan duit syiling tersebut untuk dijadikan bayaran korban bermula akhir 2020 dan pada Hari Raya Aidiladha tahun ini, impiannya berjaya direalisasikan.
Fauziah yang juga bekas pengusaha dan pengurus sebuah tadika berkata, anak bongsunya itu seorang yang berani dan nekad dalam melakukan sesuatu perkara.
"Mulanya Zara kumpul duit 50 sen suka-suka. Bila diceritakan kisah matok (nenek) yang melakukan ibadah korban pada setiap tahun hanya dengan mengumpulkan duit syiling, Zara pun ingin berbuat demikian untuk dijadikan bayaran korban.
"Tiga tahun setengah dia nekad kumpul, mana-mana duit 50 sen yang dia dapat akan masuk tabung," jelasnya.
Tambah ibu kepada tiga anak itu, dia sangat bangga dengan ketekunan dan komitmen Zara Dinie dalam usaha mengumpul duit 50 sen bagi melaksanakan ibadah korban.
Fauziah berharap ia dapat memberi inspirasi kepada anak-anak lain untuk melakukan ibadah korban.
"Saya bangga dengan Zara kerana berjaya mengumpul jumlah wang RM513 dalam tempoh lebih tiga tahun untuk melakukan korban.
"Semoga menjadi sejarah tersendiri untuk Zara dan insya-ALLAH boleh memberi inspirasi kepada orang lain," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!