Abidin lancar manifesto KERJA

Iklan
Abidin menunjukkan manifesto KERJA yang dilancarkan tiga hari sebelum hari mengundi bagi DUN Sungai Bakap.

NIBONG TEBAL - Komited untuk melaksanakan tanggungjawab yang terbaik untuk rakyat Sungai Bakap, calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail telah melancarkan manifestonya yang dinamakan sebagai Tawaran Buat Rakyat pada Selasa.

Dengan berpandukan akronim KERJA, Abidin menawarkan 15 perkara penting iaitu K- khidmat kepada masyarakat, E-ekonomi dan peluang pekerjaan, R-rangkaian infrastruktur, J- jaminan mengutamakan rakyat serta A-amanah dan integriti.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kesemua yang ditawarkan di dalam manifesto tersebut telah dilaksanakan namun ia akan diperkukuhkan dan ditambah baik demi kesejahteraan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

"Kita akan bekerja untuk rakyat berpandukan manifesto ini. Setakat ini, maklum balas masyarakat tidak kira kaum terhadap PN, amat positif. Pergerakan gelombang itu ada," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap di sini, pada Selasa.

Iklan

Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff serta beberapa ADUN Pas Pulau Pinang yang lain.

Sementara itu, mengulas mengenai manifesto tersebut, Muhammad Fauzi berkata, antara yang ditawarkan adalah menggerakkan pertubuhan sukarelawan komuniti untuk membantu golongan kurang berkemampuan dan menganjurkan program-program mesra rakyat.

Iklan

Katanya, PN juga menawarkan perkhidmatan bantuan kecemasan dengan memperkasakan perkhidmatan bantuan kecemasan bencana untuk mempercepatkan penyediaan dan penyaluran bantuan.

"Dari segi ekonomi dan peluang pekerjaan, kita akan berusaha menganjurkan program latihan dan bimbingan kepada usahawan tempatan untuk meningkatkan kemahiran perniagaan.

"Selain itu, kita akan mengusahakan penyaluran bantuan kewangan dan insentif daripada pelbagai peringkat kerajaan kepada peniaga kecil. Bagi promosi pelancongan, kita akan menggalakkan produk pelancongan untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi tempatan," katanya.

Abidin (duduk, dua dari kiri) dan Muhammad Fauzi (duduk tengah) bersama beberapa pemimpin PN Pulau Pinang melancarkan manifesto KERJA di Pusat Khidmat ADUN Sungai Bakap pada Selasa.

Menurutnya lagi, PN juga bertekad untuk menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Sungai Bakap yang telah dihadapi sejak enam tahun lalu.

"Selain masalah bekalan air, kita juga akan memastikan penyelenggaraan jalan raya berkualiti dan bekerjasama dengan kerajaan untuk memajukan rangkaian jalan raya demi keselesaan pengguna.

"Di dalam manifesto ini juga, kami memberi jaminan untuk mengutamakan rakyat yang mana kami akan menjadi suara semua rakyat dalam DUN selain menjamin akan menentang polisi atau perancangan kerajaan yang membebankan rakyat," katanya.

Muhammad Fauzi menambah, PN juga akan menjalankan tugas dengan amanah dan integriti selain menjadi semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita akan memastikan semua projek pembangunan kerajaan dijalankan dengan integriti dan bebas daripada unsur rasuah dan salahguna kuasa serta menguruskan dana awam dengan bijaksana untuk manfaat semua lapisan masyarakat.

"Di bawah manifesto ini juga, kita akan memberi laporan kepada rakyat dengan menjalankan tanggungjawab dengan beramanah serta memberi laporan tahunan kepada rakyat Sungai Bakap," katanya.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.