Kurang ketirisan tanda awal penyasaran subsidi diesel berkesan - Amir Hamzah

Iklan
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika hadir pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga kerja Kementerian Kewangan pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tanda awal langkah kerajaan dalam penyasaran semula subsidi diesel menunjukkan pendekatan tersebut berkesan dalam mengurangkan ketirisan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, melihat kepada perbandingan jualan runcit sebelum dan selepas penyasaran subsidi, purata harian di stesen minyak melibatkan Semenanjung Malaysia menurun lebih 30 peratus.

Iklan
Iklan

Ujar beliau, manakala purata jualan harian stesen minyak di kawasan sempadan pula mengalami pengurangan lebih ketara di antara 40 hingga 50 peratus.

"Ini merupakan indikator jelas pengurangan penyeludupan. Penetapan harga runcit ke paras harga pasaran tanpa subsidi mencapai hasil ini kerana mengurangkan insentif untuk menyeludup.

Iklan

"Ianya tidak tercapai jika kerajaan melaksanakan kenaikan harga runcit secara ansuran kecil kerana tidak akan menangani jurang perbezaan harga,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai penyelarasan subsidi diesel yang dilaksanakan dengan memberi bantuan Budi Madani kepada pemilik kenderaan diesel M40 dan B40.

Iklan

Sementara itu, ujar Amir Hamzah, kerajaan pada masa yang sama turut menyediakan bantuan bersasar kepada individu B40 dan M40 yang memiliki kenderaan diesel supaya tidak dibebani dengan kenaikan harga runcit.

"Bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan atau RM2,400 setahun ditetapkan mengambil kira data penggunaan.

"Bantuan RM200 dianggarkan mencukupi untuk menampung kos tambahan bagi perjalanan harian 75 kilometer (km) merujuk kepada kenderaan diesel biasa seperti penggunaan kenderaan diesel persendirian berdasarkan Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Dengan itu, pendekatan penyasaran subsidi melalui penetapan harga pasaran dan bantuan bersasar mencapai objektif membanteras ketirisan dan pada masa yang sama, melindungi rakyat daripada kenaikan kos,” ujarnya.

Sementara itu, menurut beliau, pelbagai operasi penguatkuasaan turut akan terus diperkasakan melalui Ops Kesan, Ops Catut, Ops Terjah, Ops Tiris, Ops Menu, Ops Pasar dan Ops Samar oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Semua operasi ini adalah untuk membendung sebarang usaha untuk menjejaskan kestabilan bekalan barangan dan perkhidmatan serta mengekang elemen pencatutan harga di pasaran.

"Kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan sekiranya perlu, penambahbaikan dari semasa ke semasa akan dibuat dalam memastikan golongan yang benar-benar layak terus mendapat perhatian kerajaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” menurutnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!