MACHANG - Polis Kelantan melakukan persiapan teliti bagi memastikan kelancaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang pada 17 Ogos nanti.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata, kesiapsiagaan dilakukan supaya tidak timbul isu atau permasalahan dalam pilihan raya yang bakal menjadi tumpuan tersebut.
Menurut beliau, pihaknya juga akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat bersama Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud dan merujuk kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) bagi memperkemaskan lagi gerak kerja merangkumi aspek keselamatan semasa PRK.
"Persiapan sudah pun dimulakan dan berdasarkan maklumat diperoleh berkait kawasan di Nenggiri ini, tidak ada perubahan dari segi jumlah pengundi.
"Setiap perubahan dan elemen-elemen keselamatan lain juga akan diambil kira dengan merujuk RO selain memastikan kekuatan anggota mencukupi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Kelantan 2024 di Kompleks Perpaduan Jajahan Machang, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, PRK terbabit dijangka akan menarik kehadiran ramai kenamaan kerana menjadi satu-satunya kawasan berlangsung PRK ketika itu dan pihaknya pada bila-bila masa akan meminta bantuan keanggotaan dari Bukit Aman yang sudah menyatakan kesediaan membantu.
Muhamad Zaki berkata, bagaimanapun beliau yakin PRK tersebut akan berlangsung secara aman berdasarkan tahap kematangan yang ditonjolkan oleh pemimpin dan penyokong-penyokong ahli politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.
"Melihat PRU yang lepas, jentera-jentera parti khususnya Kelantan lebih matang dalam berpolitik dan tidak nampak akan ada permasalahan besar pada PRK ini.
"Pada masa sama, saya minta jentera parti terutama golongan muda supaya bertanggungjawab dan berhati-hati serta tidak membuat provokasi yang boleh mencetus perbalahan,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos ini untuk hari pengundian, 3 Ogos untuk penamaan calon dan 13 Ogos untuk pengundian awal.
DUN Kelantan mengisytiharkan kerusi itu kosong pada 19 Jun lalu selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim kehilangan keahlian Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!