SHAH ALAM - Tindakan sesetengah pihak mengiklankan sesuatu produk menggunakan bahasa lucah disifatkan sebagai keluar dari landasan etika dan akhlak.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Awang Sariyan berkata, penggunaan bahasa sepatutnya untuk tujuan mendidik, membina akhlak dan membentuk pemikiran positif kepada semua lapisan masyarakat.
"Maknanya kita sudah keluar dari landasan etika ataupun akhlak itu. Sepatutnya bahasa digunakan untuk mendidik walaupun boleh untuk hiburan tetapi hiburan yang ada batas.
"Kalau sampai tahap menyentuh konteks lucah itu, maknanya kita sudah kehilangan etika dan akhlak. Itu sudah bertentangan dengan tujuan bahasa digunakan oleh ALLAH SWT kepada manusia,” katanya kepada Sinar Harian ketika dalam satu wawancara eksklusif baru-baru ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kecenderungan iklan yang menggunakan bahasa ‘rojak’ bagi menarik perhatian orang ramai, menurut Awang, perkara tersebut tidak sepatutnya diletakkan sebagai salah satu syarat dalam bahasa pengiklanan atau perniagaan.
"Secantik mana pun bahasa tidak patut lari daripada sistem bahasa masyarakat. Jadi iklan yang baik tidak semestinya yang caca marba bahasanya.
"Cuba tengok warung yang ala kadar, tidak ada kemegahan pun, sibuk menggunakan nama-nama bahasa Inggeris padahal kalau menu bagus dan masakan sedap, tidak guna nama asing pun pelanggan tetap datang menikmati makanan di kedai itu.
" Ia (soal) kreativiti di mana banyak bergantung kepada kemampuan kita memanfaatkan sistem bahasa yang ada,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!