Anwar terima kunjungan hormat Yang Dipertua Dewan Perundangan Majlis Oliy Uzbekistan

Iklan
Anwar menerima kunjungan hormat Ismoilov di Parlimen pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menerima kunjungan hormat Yang Dipertua Dewan Perundangan Majlis Oliy Uzbekistan, Dr Nuriddin Ismoilov.

Parlimen Malaysia dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan kunjungan hormat yang diadakan di Bangunan Parlimen itu adalah sebagai kesinambungan kepada lawatan Anwar ke Uzbekistan bulan Mei lepas.

Iklan
Iklan

Nuriddin berada di Malaysia sejak semalam untuk lawatan rasmi hingga 4 Julai ini yang bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan baik dan jalinan kerjasama dalam pelbagai bidang di antara Malaysia dan Uzbekistan.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bersama ahli Kumpulan Persahabatan Parlimen Malaysia bagi Asia Tengah turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Nuriddin dan delegasinya.

Kunjungan hormat Ismoilov adalah sebagai kesinambungan kepada lawatan Anwar ke Uzbekistan pada Mei lepas. Foto Bernama

Iklan

Mesyuarat itu membincangkan kepentingan mempergiatkan kerjasama dua hala dan aktiviti dalam bidang legislatif, sektor pelancongan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pertukaran mahasiswa, kedua-dua negara.

Mesyuarat turut membincangkan kepengerusian Parlimen Malaysia dalam Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) pada 2025 dan Nuriddin telah menyatakan dukungan Dewan Perundangan Majlis Oliy terhadap hala tuju Parlimen Malaysia untuk bersama membangun rantau ASEAN yang makmur.

Iklan

Pada April 2023, Johari telah mengadakan lawatan rasmi ke Taskent, Uzbekistan sebagai pemerhati referendum perlembagaan yang menyaksikan pindaan perlembagaan signifikan meliputi pembaharuan kepada hak sosial dan pentadbiran republik itu.

Johari menerima kunjungan hormat Ismoilov di Parlimen pada Selasa. Foto Bernama

Kenyataan itu turut memaklumkan Nuriddin serta delegasi dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Hubungan yang terjalin antara Malaysia dan Uzbekistan bukan sahaja dalam bidang ekonomi serta cabang pentadbiran kerajaan semata-mata, malah meliputi cabang legislatif antara kedua-dua negara. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!