SUNGAI BAKAP – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mahu jentera parti yang berada di dalam gabungan pakatan tersebut melipatgandakan usaha pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang kini berbaki empat hari lagi.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, peluang bagi PH dan Perikatan Nasional (PN) masih lagi seimbang setakat ini hasil pemerhatian selepas lebih 10 hari berkempen.
Menurutnya, kerjasama di kalangan parti Kerajaan Perpaduan perlu dipertingkatkan dalam usaha untuk mendapatkan kepercayaan pengundi di kawasan tersebut.
"Kepada barisan pimpinan membabitkan kawasan-kawasan mengundi di Sungai Bakap, mereka perlu memastikan penyokong-penyokong serta keahlian kita supaya semua keluar mengundi,” katanya pada Program Ziarah Madani di Kampung Padang Lalang, dekat sini pada Isnin.
Ahli Parlimen Batu Kawan itu berkata, beliau berjanji akan membantu calon PH, Dr Joohari Ariffin untuk menyelesaikan masalah berbangkit di Sungai Bakap sekiranya dipilih oleh pengundi di kawasan tersebut.
Jelasnya, Joohari dilihat diterima oleh semua kaum kerana mudah didekati, seorang peramah selain mempunyai latar belakang serta pendidikan yang baik.
"Kita memerlukan semua undi, untuk capai kemenangan, semua undi adalah penting, jadi kita sasarkan mesej untuk keluar mengundi yang mana memperlihatkan peluang untuk menang.
"Mengenai penerimaan masyarakat Cina, saya rasa calon kita diterima rakyat, beliau mudah didekati, selalu senyum, pandai membawa diri, seorang yang peramah, latar belakang pendidikan yang baik dan lain-lain berkaitan,” ujarnya lagi.
PRK Sungai Bakap menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff dari Pas yang meninggal dunia pada 24 Mei lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!