Northport tekad beri sumbangan kepada pembangunan negara

Iklan
Azman Shah (tengah) menerima Sijil Penghargaan Rakan Strategik NTW 2024 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kanan) ketika program NTW 2024 di Bukit Jalil, minggu lalu.

SHAH ALAM - Penyertaan Northport (Malaysia) Bhd (Northport) pada Minggu Latihan Kebangsaan 2024 (NTW 2024) minggu lalu mencerminkan komitmen syarikat itu untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, menerusi penawaran pelbagai program latihan komprehensif berkaitan industri pelabuhan dan logistik, pihaknya berhasrat untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan pendedahan, kemahiran serta kecekapan yang diperlukan untuk berjaya dalam pasaran pekerjaan.

Iklan
Iklan

"Melalui pusat latihan Northport International Centre of Excellence (NICE), kami menawarkan pelbagai program semasa NTW 2024 termasuk lawatan pembelajaran, kesedaran halal, keselamatan pelabuhan dan banyak lagi.

"Seramai 221 peserta dari pelbagai industri telah mengambil bahagian dalam program yang ditawarkan dan telah memberi maklum balas sangat positif," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut Azman berkata, NICE yang ditubuhkan pada 2014 merupakan penyedia latihan bertauliah HRD Corp selain pernah dilantik sebagai Pusat Latihan Bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran sejak 1 Oktober 2023.

NICE menawarkan tiga Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) iaitu Operasi Traktor Terminal, Operasi Rubber Tyred Gantry (RTG) dan Operasi Kren Dermaga.

Iklan

"NICE bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan kakitangan dan meluaskan latihan kepada pihak luar untuk manfaat industri secara keseluruhannya.

"Northport komited untuk menyediakan peluang pembelajaran berterusan termasuk program TVET kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira jantina.

"Dengan menawarkan program latihan yang boleh diakses dan inklusif, kami dapat memperkasakan tenaga kerja lelaki dan wanita untuk cemerlang dalam industri pelabuhan dan logistik," ujarnya.

Dalam pada itu. beliau berkata, pihaknya turut berhasrat untuk merapatkan jurang kemahiran dan memastikan rakyat Malaysia bersedia untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Justeru pihaknya yakin usaha yang dilakukan bukan sahaja dapat meningkatkan prospek kerjaya individu, tetapi memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi dan kelestarian negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!