ALOR SETAR - Jaminan tempat pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam program Matrikulasi tanpa mengira kaum hendaklah diperhalusi dan bukan sekadar membuat pengumuman untuk ‘memancing undi’.
Ketua Penerangan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pusat, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam isu berkenaan seakan bercanggah dan tergesa-gesa.
Menurutnya, keputusan Anwar seolah-olah sudah muktamad, sementara itu Fadhlina memberi gambaran mekanisme tersebut belum lagi disediakan dan perbincangan akan dilakukan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"Apakah jaminan keseimbangan dalam memperuntukkan pelajar Bumiputera yang hakikatnya masih ada kekangan dalam kemasukan yang perlu diberikan peluang,” katanya di sini pada Selasa.
Mohd Ashraf berkata, statistik menunjukkan sekolah terbaik SPM baru-baru ini, rata-ratanya adalah sekolah yang didominasi pelajar Bumiputera dalam sistem kebangsaan yang mana kebanyakan pelajar bukan Bumiputera menolak bagi mengikuti sistem kerajaan ini.
"Persoalan utama, bagaimana pula kerajaan akan bantu pelajar-pelajar luar bandar untuk mereka bersaing?
"Sebagai contoh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, difahamkan tuisyen percuma di sekolah yang diselaraskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hanya menyasarkan pelajar berpotensi.
"Pelajar yang ketinggalan dibiarkan dan ia secara tidak langsung menyumbang kepada lebih 400 jumlah keciciran dalam daerah Kubang Pasu,” ujarnya.
Menurut ADUN Kota Siputeh itu lagi, banyak lagi permasalahan dalam sistem pendidikan yang harus diselesaikan terlebih dahulu, termasuk membantu pelajar keciciran melanjutkan pengajian.
"Bagaimana mereka dapat bersaing kalau masih tak meninjau konsep tindak afirmatif untuk bantu golongan ini?
"Ditambah pula persekitaran di pedalaman yang mencabar selain isu-isu sosial, apa langkah kerajaan untuk tangani hal ini!?.
"Jelas tindakan itu begitu tergesa-gesa, apabila seorang cakap lain dan seorang lagi menggambarkan belum ada persediaan penuh,” katanya.
Mohd Ashraf berkata, jangan semata-mata kemaruk untuk memancing undi bukan Melayu dalam pilihan raya kecil (PRK), pemimpin sanggup gadaikan maruah dan tidak peka dengan isu yang harus diberikan keutamaan.
"Isu sekolah vernakular, kita boleh nak buka semua, tapi mereka boleh tutup semua sistem yang memacu kepada keruntuhan jati dan nilai bangsa kita.
"Semua wajar duduk bawah satu bumbung, bukan selesai dari atas ke bawah dengan membiarkan orang Melayu terus ditekan. Buatlah secara saksama dengan melihat pada kesaksamaan dan budaya bangsa Malaysia yang mana terasnya adalah orang Melayu,” jelasnya.
Sebelum ini, Anwar dan Fadhlina dilihat berbalas kenyataan dalam isu Matrikulasi bagi memperjelaskan kenyataan yang dibuat.
Pada Ahad, Anwar mengumumkan, kerajaan memberi jaminan semua calon SPM yang cemerlang 10A dan ke atas serta mohon melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Keputusan itu dicapai Jemaah Menteri pada Jumaat lalu, namun jelasnya, kuota sedia ada bagi pelajar Bumiputera dalam program Matrikulasi tidak terjejas dan kekal sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM bersama KPT bergerak secara agresif dan komprehensif bagi memastikan semua pelajar cemerlang mendapat tempat dan tidak tercicir.
Sebelum ini, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan akan menyaring lulusan SPM dengan keputusan 10A ke atas yang tidak menerima tawaran menyambung pengajian.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!