Sekolah rosak akibat banjir akan diberi peruntukan

Iklan
Mohd Arifin (dua dari kanan) bersama Raisin (tiga dari kanan) ketika meninjau keadaan bilik mesyuarat di St Michael yang terjejas akibat banjir di Penampang.Mohd Arifin (dua dari kanan) bersama Raisin (tiga dari kanan) ketika meninjau keadaan bilik mesyuarat di St Michael yang terjejas akibat banjir di Penampang.

PENAMPANG - Sekolah yang terjejas teruk akibat bencana banjir yang berlaku di negeri ini akan diberi bantuan termasuk dari segi peruntukan.

Exco Pendidikan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perkara itu dibincangkan dengan Pengarah Pendidikan Negeri bagaimana untuk membantu sekolah-sekolah yang terjejas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau melihat sendiri salah sebuah sekolah yang terkesan akibat banjir dan mengalami banyak kerosakan.

"Saya berbincang dengan pengarah bagaimana untuk kita membantu, mungkin daripada kementerian dan kerajaan negeri, Insya-ALLAH saya akan mencari jalan untuk membantu sekolah yang terlibat.

Iklan

"Terdapat empat sekolah terjejas termasuk almari dan meja. Jadi kita akan cari jalan untuk membantu bukan saja di kawasan Penampang malah di kawasan saya juga (Membakut)," katanya melawat Sekolah Menengah (SM) Saint (St) Michael di sini, pada Selasa.

Mohd Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, anggaran peruntukan yang diperlukan akan diperoleh melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Iklan

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) bagi sekolah yang terjejas akan ditukar dengan kelas ganti.

Mohd Arifin (kiri) diberitahu paras air ketika banjir berlaku di St Michael, Penampang.

"Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) amat komited bagi memastikan PnP tetap berjalan dan bagi di St Michael serta sekolah lain, saya telah berbincang dengan PPD dalam tempoh dua hingga tiga hari ini usaha membersihkan sekolah sedang dilaksanakan.

"Jadi kelas ganti akan dilakukan bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan PnP," katanya.

Diminta mengulas Sekolah Kebangsaan (SK) Abaka di Tawau yang turut terjejas akibat kebakaran pada 23 Jun lalu, Raisin memaklumkan proses PnP bagi murid di sekolah itu juga berjalan dengan lancar.

"Di SK Abaka jumlah muridnya 66 orang di mana ia adalah sekolah dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM).

"Apabila bangunan melibatkan murid tahap dua terbakar, PPD telah mengenal pasti kelas-kelas khas yang boleh digunakan dan alhamdulillah PnP berjalan dengan lancar," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!