Selatan Gaza kembali dibedil, hujan bom bertalu-talu

Iklan
Sebuah klinik kesihatan di Bandar Gaza yang turut menjadi sasaran bedilan rejim Zionis. Foto AFP

KHAN YUNIS - Israel melancarkan serangan baharu ke atas selatan Genting Gaza pada Selasa sehari selepas ia mengeluarkan arahan pemindahan paksa ke atas penduduk Palestin di kawasan padat tertentu.

"Orang awam kembali dicengkam ketakutan selepas perintah berpindah baharu itu dibuat. Ia mencetuskan semula gelombang perpindahan berskala besar,” kata Ahmad Najjar di Bani Suhaila.

Iklan
Iklan

Saksi mendakwa hujan bom kembali menggegar sekitar bandar Khan Yunis yang turut meragut lapan nyawa dan lebih 30 yang lain dilaporkan cedera.

Pertempuran sengit masih berlaku di seluruh Genting Gaza dan tiada tanda akan reda dalam masa terdekat. Foto AFP

Kempen pengeboman ganas itu adalah serangan balas terhadap bedilan roket dilancarkan gerakan Jihad Islam, Briged al-Quds yang berjuang di sisi pejuang Hamas.

Iklan

Kira-kira 20 projektil tersebut menyasarkan komuniti Israel berhampiran sempadan Gaza dan sebagai 'hukuman' atas perbuatan jenayah kejam rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa sebahagian besar roket itu berjaya dipintas.

Iklan
Arahan itu sekali lagi mencetuskan gelombang perpindahan berskala besar. Foto AFP

Di bahagian lain di enklaf itu, pertempuran ganas masih sengit selepas peperangan itu berlarutan selama hampir sembilan bulan.

Saksi memberitahu unit kereta kebal IDF terus membedil daerah Shuijaiya selepas ofensif itu dilancarkan selama lima hari berturut-turut.

Kebanyakan penduduk Palestin sudah berpindah-randah lebih lima kali sejak 7 Oktober lalu. Foto AFP

Kawasan itu berdepan serangan dari pelbagai arah dan turut ditangkis oleh Briged al-Qassam yang merupakan sayap ketenteraan Hamas.

Serangan darat yang dilancarkan ke atas selatan Gaza sejak bulan lalu turut menyebabkan angka tentera rejim Zionis terbunuh meningkat kepada 317 orang.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang baru-baru ini mengumumkan kononnya fasa sengit perang itu akan berakhir seperti 'cakap tak serupa bikin' apabila memaklumkan IDF kini sedang menjalankan operasi berskala besar di Rafah, Shujaiya dan kawasan lain.

Perintah berpindah secara paksa itu dikeluarkan ke atas beberapa kawasan di selatan Gaza. Foto AFP

Pemimpin 'ekstremis' itu memberikan alasan ia adalah pertempuran yang sukar termasuk di bawah tanah.

Sejak perang ganas itu bermula pada 7 Oktober lalu, hampir 38,000 penduduk Palestin menjadi korban kezaliman rejim Zionis malah rundingan untuk melaksanakan gencatan senjata kekal juga gagal mencapai kesepakatan hingga kini. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!