ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Seorang pembantu kafe yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Telok Gong di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, mangsa, Syakirul Farha Mohd Redhuan, 20, yang menunggang motosikal Honda Vario maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang beralamat di Kampung Ladang, Kuala Sungai Baru di sini, dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Sungai Baru menghala ke Pengkalan Balak.
Katanya, setiba di lokasi, motosikal ditunggangi mangsa telah memotong sebuah kenderaan di hadapannya lalu bertembung dengan motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang pembantu kantin sekolah berusia 18 tahun dari arah bertentangan.
"Manakala penunggang motosikal lelaki berusia 18 tahun yang mengalami kecederaan pada bahagian muka kanan dan patah kaki kanan telah dihantar menerima rawatan lanjut di hospital yang sama," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.
Tambahnya, notis Pol.61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian dan kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
"Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 dan polis meminta saksi mata yang melihat kejadian tersebut tampil untuk membantu siasatan," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!