PARIT - Seorang lelaki dipercayai warga Indonesia ditemui mati dengan kesan luka di kawasan kuari pasir, Batu 9 3/4, Bota Kanan di sini hari ini.
Mangsa ditemui oleh orang awam kira-kira jam 8.20 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, mangsa yang hanya berseluar jeans tanpa baju ditemui terlentang dengan dua kesan luka di kepala dipercayai akibat senjata tajam.
"Polis percaya berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek yang tidak dikenal pasti. Jari hantu kanan mangsa ditemui hampir putus.
"Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sekitar 10 jam lalu," katanya.
Menurutnya, pihaknya sedang mengenal pasti identiti mangsa berikutan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.
"Kita belum mengetahui jumlah sebenar suspek yang terlibat. Senjata yang digunakan belum ditemui di lokasi kejadian.
"Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenalpasti suspek dan motif sebenar kejadian itu," katanya.
Barudin berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.