GERIK - Seorang pemandu jengkaut maut selepas jentera kendaliannya terbalik, dekat lereng bukit di kawasan perlombongan biji timah di Klian Intan, Pengkalan Hulu di sini, pada Selasa.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Lum Kok Hon berusia 56 tahun.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu ke lokasi selepas menerima maklumat kejadian pada jam 11.53 pagi.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati jengkaut terbabit terjatuh setinggi 10 meter sebelum terbenam dalam lumpur.
"Pasukan mengambil masa lebih tiga jam untuk mengeluarkan mangsa sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan," katanya.
Tambah Sabarodzi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!