UMNO yakin Joohari berpotensi menang

Iklan
Ahmad Zahid

NIBONG TEBAL - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin berpotensi untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, pada Sabtu ini.

"Kita akan menang, insya-ALLAH," katanya ringkas.

Iklan
Iklan

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pra Pelancaran Pra Tahfiz Kemas Negeri Pulau Pinang dan Program Pemimpin bersama Komuniti (Kemas) di Institut Kemahiran Tinggi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO mempunyai kaedah tertentu bagi memastikan pengundi terutama pengundi muda untuk memilih calon PH.

Iklan

"Ahli-ahli UMNO yang menjadi pengundi di Sungai Bakap ini seramai 5,105 orang, ini menjadi tumpuan kepada jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN). Dan untuk anak muda, telah ada program-program tertentu yang telah kita laksanakan.

"Mereka mungkin bersentimen sebaliknya tetapi apabila pendekatan dilakukan dengan kaedah-kaedah terbaik dan sesuai dengan citarasa mereka, saya fikir akhirnya, pada hari pengundian, mereka akan mengundi Joohari daripada Kerajaan Perpaduan, insya-ALLAH," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau turut meminta pengundi Sungai Bakap untuk memberikan sokongan dan dukungan kepada Joohari bagi memberikan kesinambungan perkhidmatan yang diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Rashidi Zinol.

"Saya harap ibu bapa (pelajar Kemas) dapat istiqamah bersama-sama dengan saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilahirkan di Sungai Bakap ini untuk terus menjadi pemimpin kita bagi pembangunan di Sungai Bakap, Nibong Tebal, insya-ALLAH di seluruh Pulau Pinang dengan bertambahnya seorang lagi ADUN Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan bahawa UMNO akan sentiasa terbuka untuk bekas ahlinya untuk kembali kepada parti itu.

"UMNO sentiasa terbuka, malah pintu UMNO sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja (bekas ahli) untuk kembali kepada parti.

"Semestinya kita akan mempertimbangkan melalui Lembaga Disiplin UMNO dan Biro Politik UMNO untuk memperhalusi setiap permohonan oleh mana-mana bekas ahli UMNO," katanya.

Bulan lalu, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mesra dikenali sebagai Tok Pa mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya kerana telah memutuskan untuk bersara daripada politik.

Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga berkata, beliau telah melepaskan keahlian dan jawatannya dalam Bersatu sejak September 2023.

Sebelum ini, Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor dilapor berkata, beliau sedia memberi laluan kepada Mustapa untuk bertanding di Parlimen Gua Musang atau Jeli jika PRK diadakan.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.