Rasuah projek lebuh raya: Datuk, pengarah syarikat ditahan SPRM

Iklan
Dua individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan SPRM kerana disyaki terbabit rasuah bagi pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1 bilion.

KUALA LUMPUR - Seorang pengerusi dan pengarah syarikat sub kontraktor ditahan kerana dipercayai terbabit rasuah bagi pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1 bilion.

Sumber berkata, kedua-dua individu tersebut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dikenakan tindakan reman bermula Selasa.

Iklan
Iklan

Katanya, seorang suspek yang merupakan pengerusi syarikat bergelar Datuk direman selama lima hari sehingga Sabtu, manakala seorang lagi merupakan pengarah syarikat direman tiga hari sehingga Khamis.

"Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa.

Iklan

"Kedua-dua suspek adalah lelaki dan berusia lingkungan 40-an hingga 50-an.

"Mereka ditahan antara jam 9 hingga 12 tengah malam pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM," katanya pada Selasa.

Iklan

Kata sumber, kedua-dua suspek disyaki memberi rasuah lebih RM200,000 kepada pegawai badan berkanun sebagai balasan bagi mendapat kerja-kerja projek pembinaan lebuh raya yang sebelum ini dijalankan oleh satu syarikat lain.

Tambahnya, mereka juga dipercayai turut memberi rasuah kepada pegawai-pegawai di sebuah syarikat konsesi lebuh raya untuk tujuan sama.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan tangkapan tersebut dan menyatakan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau turut mengesahkan kesemua suspek yang ditahan reman sebelum ini telah dilepaskan selepas tamat tempoh reman termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat konsesi lebuh raya pada Isnin dengan jaminan RM150,000.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!