Sukar akses kandungan mesej

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.

PUTRAJAYA - Kaedah penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption) yang digunakan oleh hampir semua aplikasi termasuk aplikasi mencari jodoh mengehadkan usaha penguatkuasaan di negara ini.

Bagaimanapun, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa proaktif dalam usaha membendung penggunaan media sosial yang menyalahi undang-undang negara.

Iklan
Iklan

"Penyulitan hujung ke hujung bertujuan untuk memastikan hanya pengirim dan penerima yang dimaksudkan boleh membaca mesej.

NIE CHING

"Data disulitkan pada peranti penghantar dan dinyahsulit hanya pada peranti penerima. Akibatnya pembangun aplikasi, pembekal perkhidmatan atau mana-mana pihak berkuasa tidak boleh mengakses kandungan mesej dalam transit atau apabila disimpan pada pelayan.

Iklan

"Adalah sangat sukar untuk memantau atau memintas kandungan tanpa memecahkan penyulitan yang akan menjejaskan keselamatan semua pengguna aplikasi tersebut,” katanya.

Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan terdapat sekurang-kurangnya 7.38 juta pengguna aplikasi mencari pasangan berdasarkan jumlah muat turun 10 aplikasi dating paling popular pada tahun 2022.

Iklan

Aplikasi yang turut digilai oleh individu sudah berkahwin itu menjadi punca keruntuhan rumah tangga disebabkan kehadiran pihak ketiga melalui medium tersebut.

Mengulas lanjut Nie Ching berkata, SKMM hanya bertindak berdasarkan laporan pihak berkuasa berkaitan orang ramai.

Tegas beliau, penurunan sesuatu kandungan atau aplikasi adalah keputusan muktamad penyedia platform.

"Justeru, kerajaan secara berterusan mengadakan sesi libat urus bersama penyedia platform media sosial bagi mengukuhkan kerjasama supaya usaha pemantauan dan pengawalan kandungan dapat diperkasakan dengan lebih berkesan,” kata beliau.

Menurutnya, kerajaan secara dasarnya tidak mempunyai garis panduan khusus untuk penggunaan aplikasi cari jodoh, namun penggunaan internet masih tertakluk kepada undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang melarang penggunaan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya.

"Melalui laporan SKMM tahun ini, sebanyak 308 kandungan lucah, 29 kandungan sumbang serta 5,569 kandungan jelik telah diturunkan sehingga 1 Jun.

"Bidang kuasa semua agensi penguatkuasaan turut meliputi aktiviti di dalam talian di mana pengawalseliaan bersama dilaksanakan,” katanya sambil menambah tindakan tegas akan diambil terhadap perlakuan dalam talian yang melanggar undang-undang.

Setakat 1 Jun, SKMM mengambil tindakan sekatan akses terhadap satu aplikasi mencari jodoh iaitu Sugarbook.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!