Terkejut Merak Jalanan baca laporan mengenai pemandu bas persiaran terlibat dalam kemalangan di Genting Highlands yang mengorbankan dua pelancong China didapati tidak mempunyai lesen memandu.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, bas persiaran tersebut terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan ketika dalam perjalanan ke ibu negara di kilometer 16.5 Jalan Turun Genting Highlands.
Kejadian itu menyebabkan dua mangsa lelaki dikenal pasti sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Shuhong, 49, meninggal dunia di tempat kejadian.
Selain itu, seramai 18 pelancong asing selain masing-masing seorang pemandu bas, pembantu dan pemandu pelancong warga tempatan turut mengalami kecederaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar, siasatan lanjut mendapati pemandu bas berusia 32 tahun itu mempunyai 27 saman trafik lampau membabitkan pelbagai kesalahan.
Perkara ini menimbulkan persoalan tentang pihak syarikat yang bertanggungjawab membenarkan seorang pemandu bas tidak berlesen untuk mengendalikan pengangkutan tersebut.
Adakah terdapat kemungkinan perbuatan yang dilakukan syarikat itu menggunakan pemandu tersebut sudah lama dilakukan?
Melihat kepada perkara ini, Merak Jalanan mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya mencari pendekatan terbaik bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang lagi.
Selain meminta pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk meningkatkan operasi pemeriksaan, mungkin pihak polis juga boleh diberikan peranan yang sama untuk sekurang-kurangnya memeriksa lesen pemandu bas yang ada di jalan raya.
Kejadian seperti ini terutama melibatkan pelancong asing memang akan menyebabkan nama baik negara tercemar dan kehilangan pendapatan daripada industri tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!