Siapa perlu mula dulu, suami atau isteri?

Iklan
Masalah akan menjadi lebih membarah sekiranya terlewat dirawat dan jika dibiarkan terus merebak ia boleh meletus tanpa disangka. Gambar hiasan

Setiap individu sememangnya akan berhadapan fasa masalah dalam kehidupan, baik kecil atau besar. Tapi bagaimana mengendalikan masalah itu hingga selesai?

Dalam erti kata lain, jangan bermusuh dengan masalah, sebaliknya bersahabatlah dengannya. Cari punca untuk menyelesaikannya walaupun adakala bukan mudah seperti diharapkan.

Iklan
Iklan

Masalah akan menjadi lebih membarah sekiranya terlewat dirawat. Jika dibiarkan terus merebak dan membarah dalam senyap, lebih berbahaya jika ia meletus tanpa disangka.

Hari ini kita mendengar pelbagai masalah dalam kehidupan. Ada berkaitan tempat kerja, tidak kurang hal rumah tangga. Malah, akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan berita berkaitan masalah rumah tangga sehingga berakhir dengan pembunuhan.

Iklan

Pada 20 Jun lalu, media melaporkan, seorang suami menikam isterinya di Batu Gajah, Perak. Pada 12 Jun lalu, di Ipoh kejadian seakan sama berlaku apabila suami menikam isteri sehingga mati.

Memang manusia amat sukar untuk mengawal perasaan apabila dihimpit masalah. Ada saja yang tidak kena, hinggakan perkara kecil akan menjadi besar dan menjadi punca perbalahan sesama sendiri.

Iklan

Justeru, belajarlah ‘coping skill’ atau kemahiran individu mengawal diri dalam permasalahan atau punca stres.

Mengambil pandangan Pakar Perunding Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Ramli Musa dalam satu entri laman webnya mengatakan, konsep rawatan terbaik apabila ada masalah ialah tidak perlu tunggu teruk baru mendapatkan rawatan."Keadaan ringan pun boleh mendapatkan rawatan kaunseling, cegah sebelum terlambat,” katanya.

Carilah penyelesaian yang terbaik, sekurang-kurangnya mencari jalan tengah dengan membuang ego kedua-dua pihak untuk kebaikan bersama.

Mengambil iktibar laporan muka depan Sinar Harian pada 28 Jun lalu pula, terdapat pasangan yang mencari masalah baharu dalam melayari rumah tangga kerana gagal dalam komunikasi keluarga. Alasannya menuding jadi kepada suami atau isteri, sedangkan komunikasi yang gagal sehingga membawa masalah baharu dalam kehidupan.

Terdapat antara mereka dikatakan mencari penyakit sendiri iaitu menggunakan aplikasi dating dan implikasinya merosakkan rumah tangga. Alasan suka-suka untuk melarikan diri daripada masalah suami isteri dan akhirnya mencipta masalah rumah tangga baharu.

Akhirnya ada antara mereka telah menjadi kemaruk kepada aplikasi ini demi memuaskan nafsu sendiri.

Impaknya meninggalkan tanggung jawab kepada keluarga dan mencari keseronokan baharu bersama pasangan maya yang baharu dikenali itu. Ini membuatkan masalah asal tidak selesai tetapi mencipta hal baharu yang kononnya keluar dari masalah sedia apa, alasan demi alasan terus dicipta untuk selamatkan diri sendiri.

Sama seperti kata pepatah, keluar dari mulut harimau, masuk mulut buaya yang membawa maksud keluar dari satu masalah, tetapi masuk ke masalah yang lain pula.

Rentetan itu, Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Muhamad Hisham Marzuki dalam kenyataannya berkata, kadar perceraian gara-gara orang ketiga semakin meruncing, kes yang melibatkan aplikasi mencari jodoh ini semakin serius.

"Data Jabatan Perangkaan Malaysia juga menunjukkan kes penceraian pada 2022 meningkat kepada 62,890 berbanding 43,936 kes cerai (2021),” katanya.

Angka berkenaan amat besar menunjukkan peningkatan sebanyak 18,954 kes penceraian jika dibandingkan dua tahun berkenaan.

Melihat kepada angka yang besar ini, amatlah bahaya kepada institusi keluarga sekiranya tidak mengambil jalan penyelesaian dan semoga kita tidak termasuk dalam data ini.

Untuk menyelesaikannya, kita tidak boleh menyendiri dan membuat mudah. Jumpalah pihak yang lebih pakar serta profesional kerana khuatir salah nasihat akan lebih parah.

Sebaiknya, jangan tanya siapa hendak mula dulu, suami atau isteri, tetapi anda ada jawapannya sendiri.

Semoga kehidupan mendatang lebih baik daripada semalam.

* Mohd Fazli Zainul Abidin ialah Penolong Pengarang Berita (Digital) Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!