KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz dan Ruhainies akan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini atas pertuduhan berkhalwat, Mac lalu.
Peguam Syarie, Abdul Hadi Mohamad Salleh yang mewakili Aliff mengesahkan demikian ketika ditemui di lobi mahkamah bersama pasangan pelakon itu.
"Buat masa ini, kita cuma tahu pertuduhan adalah membabitkan kes khalwat namun maklumat lengkap akan diketahui selepas pertuduhan dibaca.
"Selepas itu, pengakuan bersalah atau sebaliknya akan direkodkan, daripada pihak yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Aliff yang berkemeja hitam sementara Ruhainies berjubah warna yang sama, sempat menegur pengamal media sebelum memasuki kamar mahkamah.
Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz 33, dan Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, hadir dengan rakan-rakan mereka pada jam 9 pagi dengan disusuli barisan peguam.
Penyanyi yang menjuarai pertandingan nyanyian dalam rancangan rialiti TV itu berharap, semua pihak dapat mendoakan yang baik-baik, untuk prosiding ini.
"Kita hargai rakan-rakan media yang hadir, minta doa yang baik-baik untuk hari ini, Insya-ALLAH," katanya.
Sementara itu, Ruhainies turut mengucapkan terima kasih atas sokongan pihak media dan orang ramai.
"Terima kasih semua kerana sudir datang meluangkan masa hari ini, doakan yang terbaik untuk kami,” katanya.
Pada 9 Mac lalu, nama Aliff Aziz terpalit dengan kontroversi apabila dia dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara bersama pelakon, Ruhainies.
Susulan itu, kedua-dua pelakon itu menjadi sasaran netizen sebelum Aliff dan Ruhainies tampil membuat permohonan maaf namun menafikan dakwaan khalwat itu.
Isteri, Aliff iaitu Bella Astillah kemudiannya memfailkan penceraian secara ekspres, namun pelakon itu enggan menceraikannya pada sebutan kes pada 4 April lalu.
Bagaimanapun, pada 13 Jun lalu, Aliff menceraikan Bella dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini.
Sebagai rekod, Aliff dan Bella pernah bercerai talak satu pada 16 Mei 2019, namun rujuk semula ketika dalam iddah.
Mereka yang melangsungkan perkahwinan pada 9 September 2016, dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!