Kemenangan istimewa Turkiye

Iklan
Pemain Turkiye meraikan kejayaan mara ke suku akhir.

PENGENDALI Turkiye, Vincenzo Montella menyifatkan kejayaan menewaskan Austria 2-1 untuk mara ke suku akhir Euro 2024 sebagai sesuatu yang istimewa selepas dibelasah oleh lawan sama pada perlawanan persahabatan pada Mac.

Pemain pertahanan tengah, Merih Demiral muncul wira dengan dua gol di Leipzig ketika Turkiye mara ke suku akhir kejohanan utama buat kali pertama sejak Euro 2008.

Iklan
Iklan

Ia adalah satu kejayaan besar buat Montella dan pemainnya selepas tewas 1-6 kepada Austria awal tahun ini.

"Kami dikritik hebat kerana keputusan perlawanan persahabatan kami. Mereka tidak berjaya dan kemuncaknya adalah menentang Austria.

Iklan

"Itu adalah titik yang mengerikan dalam karier saya. Namun, untuk perlawanan ini memang saya nantikan untuk membuktikan kritikan itu tidak benar.

"Ini bukan balas dendam tetapi saya mahu membetulkan keadaan kerana saya tidak pernah tewas dengan jumlah jaringan besar dalam karier kejurulatihan saya," katanya.

Iklan

Turkiye akan menentang Belanda pada suku akhir Ahad depan dalam suasana yang cukup bersemangat di Berlin.

Jerman adalah negara yang memiliki hampir tiga juta penduduk berketurunan Turki dan anak buah Montella mendapat sokongan luar biasa dalam setiap perlawanan di kejohanan itu setakat ini.

"Kami mempunyai ramai penyokong, semangat dan cinta ini sangat mendalam.

"Saya sangat gembira dapat memberikan kebanggaan kepada rakyat Turkiye di sini di Jerman, tanah air dan di seluruh dunia.

"Sokongan ini sentiasa kami rasai tetapi impian (untuk jadi juara) ini hanya boleh dicapai jika anda bekerja keras," katanya.