CRISTIANO Ronaldo tidak akan berputus asa memburu gol dalam saingan Euro kali ini selepas dia masih belum menemui jaringan dalam empat perlawanan terakhir kejohanan itu.
Pemain berusia 39 tahun itu berpeluang membuka gol peribadi ketika menentang Slovenia tetapi gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-105 menyaksikan perlawanan berakhir seri tanpa jaringan selepas 120 minit.
Dia kemudiannya menangis susulan kegagalan tersebut, namun mengambil tanggungjawab sepakan pertama dalam penentuan penalti yang membolehkan Portugal merakam kemenangan untuk mara ke suku akhir.
Ronaldo dan pasukannya akan berdepan Perancis di suku akhir dan perlawanan tersebut diibaratkan sebagai ulangan final 2016 yang dimenangi Portugal di Paris untuk merangkul kejuaraan Eropah pertama mereka.
Lapan tahun lalu, Ronaldo juga bukan wira kerana terpaksa dikeluarkan lebih awal susulan kecederaan dan Eder menjaringkan gol pada masa tambahan untuk mengalahkan Les Bleus.
"Saya akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk baju ini, sama ada saya gagal atau tidak, dan saya akan melakukan ini sepanjang hidup saya.
"Saya telah melakukan ini selama 20 tahun, seperti yang anda lihat saya terlepas sepakan penalti, tetapi saya mahu menjadi yang pertama menjaringkan gol.
"Kita perlu bertanggungjawab... anda tidak boleh takut. Saya tidak pernah takut untuk menghadapi sesuatu secara berterusan, kadang-kadang saya betul dan kadang-kadang tidak. Tetapi, menyerah adalah sesuatu yang anda tidak akan pernah dengar dan lihat dalam diri saya," katanya.
Ronaldo membuat penampilan sulung di Euro pada 2004 di tanah airnya tetapi Portugal kalah dalam perlawanan akhir menentang Greece.
Penyerang itu, yang kemudiannya menjadi bintang untuk Manchester United, Madrid dan Juventus, kini bermain untuk Al-Nassr di Arab Saudi.
Jika dia menjaringkan gol dalam Euro, dia akan menjadi penjaring tertua dalam sejarah pertandingan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!