Istiadat pertabalan Agong ke-17 imbau nostalgia peribadi Sultan Ibrahim

Iklan
Azuan Effendy ditemu ramah sempena istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, baru-baru ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai ini pastinya menjadi detik teristimewa buat Sultan Ibrahim apabila bakal melalui proses bersejarah sama seperti ayahanda baginda Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail yang ditabal selaku Yang di-Pertuan Agong kelapan, 40 tahun lepas.

Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, istiadat itu bakal mengimbau kenangan cukup signifikan kerana Sultan Ibrahim akan bersemayam di atas singgahsana sama digunakan Almarhum ayahanda baginda dahulu.

Iklan
Iklan

"Singgahsana ini telah digunakan Almarhum Sultan Iskandar, jadi pastinya ia memberi makna tersendiri kepada Sultan Ibrahim. Sebelum ini, turut digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong ketujuh," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Lebih istimewa, pelantikan putera sulung Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Ismail sebagai Pemangku Sultan Johor usai pemasyhuran Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas, mengulangi catatan sejarah bagaimana Seri Paduka Baginda dilantik Pemangku Raja Johor sewaktu giliran Almarhum Sultan Iskandar bersemayam di Istana Negara pada 25 April 1984.

Iklan

Beliau berkata, alat kebesaran lain yang akan digunakan pada istiadat pertabalan nanti mempunyai nilai sejarah amat tinggi memandangkan ia merupakan warisan kebudayaan negara yang telah digunakan sejak istiadat pertama bermula 2 September 1957 dan masih dipulihara dengan baik sehingga kini.

Azuan Effendy berkata, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah juga berkenan menyatukan penggunaan warna kegemaran Seri Paduka Baginda berdua iaitu biru Tiffany dengan warna diraja iaitu kuning pada istiadat nanti.

Iklan

"Seri Paduka Baginda berdua ada cita rasa tersendiri, jadi banyak perkara kita dah pilih untuk gunakan warna 'Tiffany Blue' dan disatukan dengan warna diraja kuning antaranya pada kad jemputan pertabalan dan buku atur cara pertabalan, semuanya kita guna warna itu," katanya.

Azuan Effendy berkata, elemen lain yang disifatkannya istimewa pada istiadat pertabalan kali ini adalah penggunaan Nobat Diraja Perak.

Beliau berkata, Sultan Ibrahim sendiri telah memohon perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk menggunakan Nobat Diraja Perak pada istiadat nanti dan ia amat simbolik kerana Raja Permaisuri Agong ialah puteri kedua dan anakanda ketiga kepada Almarhum Sultan Perak Paduka Seri Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Perak Raja Perempuan Muzwin Almarhum Raja Dato' Sri Ariff Shah.

"Ini tentunya menggamit nostalgia kerana pada istiadat pertabalan Almarhum Sultan Iskandar dulu pun menggunakan Nobat Diraja Perak," katanya.

Azuan Effendy berkata, alatan muzik Nobat Diraja Perak yang dimainkan oleh susur galur Orang Kalur di negeri itu hanya boleh dibawa keluar dari istana dan sempadan negeri setelah mendapat perkenan Sultan Perak.

"Permohonan perkenan itu amat istimewa dan berlangsung dengan penuh santun, Sultan Ibrahim sendiri menulis warkah yang dipersembahkan kepada Sultan Nazrin oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.

"Tak boleh saya selaku Datuk Paduka Maharaja Lela mohon sendiri melalui panggilan telefon, e-mel atau WhatsApp sahaja, ia dilakukan atas hubungan dua baginda raja,” katanya sambil menambah nobat yang biasa dimainkan pada istiadat pertabalan itu hanya terdapat di Perak, Selangor, Terengganu dan Kedah.

Menurut Azuan Effendy warkah perkenan Sultan Nazrin telah dipersembah kepada Sultan Ibrahim menerusi utusan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin dan Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Seri Ayop Hashim.

Dalam pada itu, Azuan Effendy yang telah terlibat dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong sebanyak lima kali berkata istiadat pertabalan kali ini juga mempamerkan sisi istimewa keakraban Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

"Sinergi baik antara Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong jelas terpancar apabila Sultan Ibrahim sendiri telah memberi perkenan kepada Sultan Nazrin untuk memilih menu yang akan disajikan sewaktu Majlis Santapan Diraja pada sebelah malam istiadat pertabalan di Istana Negara,” katanya.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!