TANGKAK – Gara-gara cuba mengelak sebuah lori yang keluar dari simpang, seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Sialang di sini pada Selasa malam.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib, kemalangan berkenaan dipercayai berlaku sekitar jam 9.21 malam ketika penunggang motosikal seorang lelaki berusia 49 tahun datang dari arah Jasin menghala ke Tangkak.
Katanya, setibanya ke lokasi, penunggang motosikal berkenaan tidak sempat mengelak sebuah lori dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang keluar dari simpang lalu terlanggar motosikal berkenaan.
"Akibatnya, motosikal tersebut terbabas ke bahu jalan dan penunggangnya mengalami kecederaan parah serta meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tangkak bagi tujuan bedah siasat,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Azmi di talian 011-12445836.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!