Permintaan air meningkat sejak 2019 punca gangguan air di SPS

Iklan
Zairil

SUNGAI BAKAP - Permintaan air yang tinggi di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) sehingga mencecah 10 peratus sejak 2019 menjadi antara punca berlakunya masalah gangguan air di kawasan tersebut termasuk Sungai Bakap.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, permintaan mendadak terhadap bekalan air itu di luar jangkaan kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peningkatan permintaan air sehingga 10 peratus biasanya berlaku dalam tempoh 10 tahun namun di SPS hanya berlaku dalam tempoh empat tahun.

"Isu masalah tekanan air khususnya di kawasan SPS yang telah dialami selama ini dan sejak tahun-tahun kebelakangan ini semakin teruk.

Iklan

"Kerajaan negeri mengambil maklum dan juga mengakui bahawa terdapat kesilapan akibat daripada kenaikan ataupun peningkatan permintaan air yang telah berlaku dalam tahun-tahun yang terkini daripada 2019 hingga 2023," katanya pada malam Selasa.

Beliau berkata demikian pada ceramah perpaduan di Taman Lima Kongsi, dekat sini yang turut dihadiri calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin.

Iklan

Jelas Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang itu, kerajaan negeri tidak berdiam diri malah menyediakan projek jangka masa pendek dan panjang bagi menyelesaikan masalah air yang berlaku.

Menurutnya, bagi jangka masa pendek, kerajaan negeri telah memasang tangki sedutan di rumah pam Taman Wellesley dan Taman Widuri.

"Kita juga memasang loji rawatan air (LRA) yang kecil 'portable' di Taman Sungai Duri Indah dan kita telah menaik taraf LRA di Bukit Panchor yang mana kapasiti airnya 10 juta liter sehari (MLD) dan kita gandakan kepada 21 MLD.

"Jangka masa sederhana dan panjang ada lagi akan kita buat contohnya LRA di Sungai Kerian yang akan selesaikan masalah air beberapa tahun akan datang," ujarnya.

Tambahnya, bagi jangka masa panjang, kerajaan negeri memerlukan bantuan daripada kerajaan Persekutuan yang telah pun diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan telah berjaya memujuk kerajaan negeri Perak untuk menjual air kepada Pulau Pinang.

Menurutnya, kepimpinan kerajaan Persekutuan dan Pulau Pinang yang sehaluan banyak membantu melicinkan pentadbiran dalam tumpuan membantu rakyat dari semasa ke semasa.

"Saya nak sebut apabila ada kerajaan, dan bila jadi pembangkang, ia amat berbeza.

"Bagi orang Sungai Bakap, kalau hendak pilih calon, biar pilih calon yang boleh membawa perubahan dan bawa perbezaan, bukan pilih yang boleh cakap sahaja, jadi pilihlah dengan penuh bijaksana," katanya lagi.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Joohari dan calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff dari Pas yang meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!