[VIDEO] Cadang tuntutan pampasan ganti rugi kenderaan rosak sehingga RM150,000

Iklan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mempertimbangkan kenaikan had tuntutan pampasan ganti rugi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) daripada RM50,000 kepada jumlah yang lebih besar dalam usaha melindungi pengguna dalam urusan pembelian kenderaan.

Had maksimum sehingga RM150,000 yang dicadangkan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) kepada Dewan Rakyat dipersetujui sebagai nilai yang wajar diberi perhatian.

Iklan
Iklan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, menerusi laporan awal Kementerian Perdangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung 'Lemon Law', had RM50,000 merupakan salah satu daripada empat komponen utama isu berbangkit yang perlu ditambah baik.

Menurutnya, Akta Pelindungan Pengguna 1999 (Akta 599) seksyen 98(1) sendiri telah dipinda sebanyak dua kali daripada had asal tuntutan pampasan ganti rugi hanya RM10,000 sejak undang-undang tersebut diwujudkan.

Iklan

Armizan menjawab soalan tambahan berhubung Lemon Law di Dewan Rakyat pada Rabu.

"Akta 599 Seksyen 98 (1) memang menetapkan bahawa had RM50,000 kalau kita lihat sejak diwujudkan, dah dua kali dipinda, asalnya hanya RM10,000, tahun 2003 dipinda kepada RM25,000 dan RM50,000 pada 2019.

Iklan

"Saya bersetuju dengan Jempol bahawa melihat kepada realiti dan tuntutan semasa, sememangnya had nilai tersebut (RM150,000) adalah perkara yang perlu untuk diperkukuhkan dan ditambah baik," katanya menjawab soalan tambahan ketika Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat pada Rabu.

Sebelum itu, Shamshulkahar menggesa agar perlaksanaan 'Lemon Law' disegerakan memandangkan ia dibangkitkan sejak 2007 lagi oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Katanya, masalah utama berlaku melibatkan had tuntutan pampasan tribunal hanya maksimum RM50,000 dan ke bawah yang tidak mampu menampung kerugian melibatkan kerosakan kenderaan baharu yang lebih mahal.

"Saya cadangkan, naikkan had (tuntutan pampasan) tribunal kepada RM150,000.

"Kalau perlu buat penambahan dalam akta dan bawa ke Dewan ini pada kadar segera untuk lindungi hak pengguna," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkenaan status pengenalan undang-undang Lemon Law, Armizan berkata, kerajaan kini menjalankan Kajian Pewujudan Perundangan berkaitan undang-undang tersebut bersama kumpulan perunding pakar dan dijangka selesai pada September depan.

Katanya, dapatan awal kementerian juga menunjukkan bahawa terdapat ciri-ciri peruntukan mengenai Lemon Law di bawah beberapa akta dan peraturan merentasi kementerian dan agensi di Malaysia selain Akta 599.

"Akta lain yang dikenal pasti pada peringkat awal adalah seperti Akta Kontrak 1950 (Akta 136), Akta Jualan Barangan 1957 (Akta 382) dan Akta Sewa Beli 1967 (Akta 212).

"Hasil kajian tersebut akan dijadikan asas pertimbangan untuk membuat keputusan dasar sama ada perlu membuat penambahbaikan terhadap kerangka perundangan sedia ada atau memerlukan kepada penggubalan perundangan baharu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!