JKM kesan ibu kandung kanak-kanak lelaki ditinggalkan di rumah sewa

Iklan
JKM Besut mengesan ibu kandung seorang kanak-kanak lelaki yang ditinggalkan di sebuah rumah sewa di Pulau Pinang sejak 10 tahun lalu.

BESUT - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Besut mengesan ibu kandung seorang kanak-kanak lelaki yang ditinggalkan di sebuah rumah sewa di Pulau Pinang sejak 10 tahun lalu.

Kanak-kanak tersebut, Mohd Adam Irwan Shah yang kini berusia 10 tahun berada di bawah jagaan seorang wanita berusia 54 tahun di Kampung Gong Mano di sini.

Iklan
Iklan

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Besut, Zulbahri Ibrahim berkata, Mohd Adam Irwan ditinggalkan ibunya di rumah tersebut pada Oktober 2014.

"Pihak JKM menerima aduan kanak-kanak ini telah ditinggalkan ketika berusia lima bulan di rumah sewa tersebut dan telah dijaga oleh seorang penjaga sehingga sekarang.

Iklan

"Difahamkan ibu kandung kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Nazaria adalah seorang warga Indonesia dan telah meninggalkan kanak-kanak itu tanpa sebarang bukti kelahiran," katanya di sini pada Rabu.

Zulbahri memberitahu, kanak-kanak tersebut telah mendapat permohonan Perintah Jagaan Sementara di bawah Seksyen 19 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 oleh Mahkamah Majistret Daerah Besut pada 12 Jun lalu.

Iklan

Katanya, keputusan itu bagi menempatkan kanak-kanak tersebut dalam jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) sehingga kini.

"Usaha mengesan ibu kanak-kanak itu dilakukan bagi membolehkan dia dijaga dan dilindungi di bawah perenggan 17 (1) (e) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang ibu kandung kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Besut, NorJuliyana Nazar di talian 09-6956042 / 09-6953951," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!