China minat bekerjasama dengan Malaysia dalam industri halal

Iklan
China berminat untuk bekerjasama dalam industri halal dengan Malaysia merangkumi pensijilan, perkhidmatan dan produk halal. Gambar hiasan (Gambar hiasan: Mohamad)

KUALA LUMPUR - China berminat untuk bekerjasama dalam industri halal dengan Malaysia merangkumi pensijilan, perkhidmatan dan produk halal, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata, kesungguhan itu dizahirkan Perdana Menteri China Li Qiang dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengadakan lawatan rasmi ke negara itu bermula 22 Mei hingga 1 Jun lepas.

Iklan
Iklan

"Semasa kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Li Qiang, Timbalan Perdana Menteri telah mengambil peluang untuk memaklumkan tentang industri halal global yang bernilai AS$3.1 trilion pada 2018 dan berkembang sebanyak 4.1 peratus setiap tahun serta dijangka mencapai AS$5 trilion pada 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang ingin tahu hasil lawatan Timbalan Perdana Menteri ke China bersempena ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China di Dewan Rakyat pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, kedua-dua pihak juga telah bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama termasuklah bidang teknologi tinggi, tenaga yang boleh diperbaharui, ekonomi digital dan semikonduktor.

Secara keseluruhannya, Mohamad berkata lawatan rasmi itu berjaya mencapai matlamat untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala dan mengekalkan persefahaman sedia ada antara Malaysia dengan China.

Iklan

Menjawab pertanyaan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar) berkaitan isu Laut China Selatan, Mohamad berkata Malaysia tegas mempertahankan kedaulatan negara ini serta sedia menggunakan semua platform yang ada untuk berunding dengan China yang dilaporkan menempatkan kapal perang di kawasan berkenaan.

"Kita tidak akan berkompromi soal kedaulatan dan akan menggunakan mekanisme sedia ada untuk teruskan rundingan termasuk mengenai Kod Tata Laku (COC) menangani isu Laut China Selatan,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!